Adik 'Pergi' Dulu


Sayu membaca luahan ibu salah seorang mangsa empat sahabat yang dilaporkan meninggal dunia selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam dalam sungai di Felda Tenggaroh. 

Ibu kepada arwah Abu Izzani Abu Bakar,  Cekmek Molek M Yusof, sebelum ini meminta bantuan orang ramai menyebarkan berita kehilangan anaknya di Facebook dengan harap dapat mengetahui keadaan terkini anaknya itu. 

Bagaimanapun, penantian berakhir dengan berita sedih. Cekmek Molek M Yusof kemudian memuat naik luahan hatinya di laman Facebook, mengundang simpati netizen. 

Hari Kelima, 15 Februari

"Saya ingin memohon kerjasama semua mengenai anak saya dan rakan-rakannya yang didapati hilang selepas keluar dari rumah pada jam 10 malam pada 10 Februari lalu untuk pergi ke Terengganu dan dimaklumkan akan pulang pada 13 Februari. Mohon kepada sesiapa yang menemui mereka menghubungi kami," katanya. 

Hari Keenam, 16 Februari

"Adik Abu Izzani, hari ini mesti kawan-kawan tertunggu-tunggu adik masuk kuliah di UNIKL. Ibu tertunggu panggilan dari adik, mesej, WhatsApp pada ibu. Kalau sehari dua adik tak ada, ibu tidak terasa lagi. Ini sudah masuk hari yang keenam tanpa sebarang khabar berita.

"Nak call adik tak dapat. Ibu dah mula fikir apa yang adik makan dan minum. Sedangkan adik tidak boleh berlapar. Kasihan adik. Ibu pun tak terasa lapar. 

"Ibu masih mengharapkan adik balik dengan selamat. Cuma pada Allah ibu mahu meminta dan memohon lagi dan lagi sebelum sampai masanya. Doa ibu tiada hijab, mana jantung hati ibu ini? Ya Allah, maqbulkanlah doa-doa kami," katanya pada jam 12.25 pagi. 

Genap seminggu, 17 Februari

"Assalamualaikum"

"Terngiang-ngiang di telinga ibu apabila adik memberikan salam. Adik pergi dulu, basah pipi ibu adik cium. Walaupun sudah berusia 21 tahun, namun masih lagi manja. Nama pun adik. 7 hari 7 malam ibu tunggu tetapi adik tak muncul-muncul. Manalah jantung hati ibu ini?

"Solat hajat tiga masjid telah dilaksanakan. Ibu dan ayah berserah, tiada daya dan upaya kami melainkan dengan pertolongan, kehendak, keizinanMu. Ya Allah, angkatlah doa-doa kami. Sesungguhnya kami telah berikhtiar. Engkau yang mengetahui segalanya yang nyata dan yang ghaib.

"Selamat ya dik, call dan WhatsApp ibu. Doa ibu tiada hijab, ibu akan memohon lagi, lagi dan lagi untuk adik. Ibu rindukan adik," katanya. 

Demikianlah luahan hati seorang ibu yang risau dan sayang pada anaknya. Ramai kenalan yang tidak putus-putus mengucapkan takziah pada beliau dan berharap mereka sekeluarga tabah dengan apa yang berlaku.

Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan para solihin. Al-Fatihah.. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.