Aku Benci & Menyesal Dilahirkan Sebagai Anak Ayah!


Aku rindu Daddy.. 

Pertama, terima kasih kepada admin IIUM Conffessions siarkan confess aku. Aku tak tahu nak kongsikan dengan sesiapa dan aku selalu baca confessions di laman Facebook ini.

Tadi ada baca confessions tentang ayah dan aku terpanggil untuk berkongsikan tentang ayah aku yang baru saja meninggal tiga hari yang lalu selepas kemalangan. Doktor mengesahkan ayah meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang berada, berpangkat dan ada status. Aku anak tunggal dan dibesarkan dengan begitu tegas. Ramai yang cakap,

"Wah! Untunglah jadi anak tunggal. Confirm anak manja dan request apa-apa pun mesti dapat,"

Kadang-kadang aku tergelak dengan pemikiran rakan-rakan. Hakikatnya aku sama seperti orang lain. 

Ayah tidak pernah melambakkan duit ringgitnya untuk aku. Semasa sekolah rendah dulu, aku bawa bekal seperti orang lain. Duit yang ayah beri, ayah suruh masukkan dalam tabung. Kadang-kadang ayah berpesan, kalau ada kawan-kawan yang susah, kongsikan saja apa yang aku ada dengan mereka. 

Bila masuk ke Tingkatan 1, aku layak masuk ke sekolah berasrama penuh. Hidup aku juga berubah, dari hidup yang penuh sopan dan protokal, aku berubah menjadi nakal, sombong dan mula memilih kawan. Pendek kata, kejutan budaya. 

Aku pernah digantung sekolah kerana bergaduh dengan kawan. Akhirnya aku dibuang sekolah kerana bergaduh dengan budak yang sama. Bermula dari hari itu, ayah mendidik aku dengan kekerasan dan aku pula mula melawan. 

Mula-mula sekali, ayah memberikan penampar padunya. Rasa bagaikan tidak percaya yang aku ditampar oleh ayah aku sendiri. Kehidupan aku juga tidak bebas, segalanya dikawal seperti dalam penjara. Tak boleh keluar berjumpa dengan kawan-kawan, tak boleh guna gajet mahupun menonton televisyen. Ayah suruh aku belajar 24/7. Kalau nak keluar beli barang pun, akan ada bodyguard yang escort. 

Satu hari, ayah belikan aku Play Station, mungkin dia kasihan melihat aku stress di rumah, tak ubah seperti kera di dalam zoo. Hasilnya, aku boleh menghadap PS itu dari siang ke malam, kadang-kadang sampai tak makan. 

Akibatnya, ayah rampas PS itu dan berikan tukul, menyuruh aku menghancurkan PS itu sendiri. Pada ketika itu, aku rasa aku nak pecahkan muka ayah dengan tukul. Handphone dengan laptop jangan kiralah, kedua-duanya hancur aku hempaskan dari tingkat atas. 

Aku gigih belajar sebab aku nak skor result yang terbaik untuk SPM. Aku nak result yang cantik dan boleh keluar dari rumah. Bila dapat result SPM, aku dapat 1 B dan yang selebihnya A. Namun, disebabkan aku mendapat satu B, aku dilempang oleh ayah dan menerima ceramah pendidikan percuma dari malam sehingga jam 3 pagi. 

Pada ketika itu, aku dah mula menyimpan perasaan benci pada ayah. Benci gila dengan dia sehingga membuatkan aku nekad untuk keluar dari rumah. 

Aku mendapat tawaran masuk ke matriks. Di situ, aku mula bercinta. Pertama kali bercinta, so macam bataklah sikit bila ada orang saya pada kita. Aku ke hulu ke hilir dengan teman lelaki sampailah habis matriks dan masuk universiti berhampiran dengan rumah.

Bila masuk universiti, ayah belikan kereta. Jadinya, aku semakin kerap hilang dari rumah. Bila ayah tanya, aku beri alasan yang aku berjumpa dengan kawan untuk berbincang hal-hal study. Ayah percayakan aku 100%. Sampailah satu malam, aku keluar senyap-senyap dari rumah dan terlibat dalam kemalangan dengan rakan aku. 

Polis menghubungi ayah dan mulai dari hari itu, ayah sudah tidak mempercayai aku lagi. Aku dibantainya seperti aku telah melakukan jenayah berat. Disebabkan itu juga, ayah hantar aku ke luar negara. Aku terasa nak bunuh saja ayah aku sebab aku tak dapat nak terus dalam keadaan terkongkong seperti ini. 

Namun, aku berada di luar negara hanya untuk tempoh masa yang singkat sebab ada hal-hal yang teruk berlaku di sana menyebabkan aku terpaksa pulang ke Malaysia. Bermula dari saat itu juga, aku kerap melawan kata-kata ayah. Tali pinggang, tapak tangan dia sudah lali hinggap di badan aku setiap hari. Macam-macam yang terjadi pada aku dan kebanyakannya berpunca dari salah faham di antara kami berdua. 

Soal duit? Usah ditanya, semua perbelanjaan aku disekat dan kadang-kadang bila aku minta duit, memang tidak akan dapat. Tetapi alhamdulillah aku tak ikut trend, aku pakai saja apa yang aku ada. 

Minggu lepas, ayah tunangkan aku dengan orang yang aku tidak kenal. Aku marah sangat-sangat dan mengamuk. Aku pecahkan cermin kereta kesayangan ayah. Mulut aku tak lepas-lepas kata,

"I hate you dad!!"

Kemudian aku lari dari rumah. Ayah cuba memujuk agar aku balik. Puas dia cuba menghubungi telefon aku tetapi tidak dijawab. Dia beria-ria meminta maaf pada aku. 

Setelah tiga hari berlalu, barulah aku membalas mesejnya dan aku kata aku bencikan dia, aku menyesal lahir sebagai anaknya. Namun, ayah cuma membalas yang dia mahukan yang terbaik untuk aku. 

Akhirnya aku buat keputusan untuk balik ke rumah nenek. Ayah dari Kuala Lumpur sanggup pergi ke rumah nenek untuk berjumpa dengan aku. Dan pada ketika itulah dia terlibat dalam kemalangan. Sebelum kemalangan itu, aku ada cuba menghubunginya tetapi tidak dijawab. Dia hanya mengirimkan mesej melalui WhatsApp yang dia sudah hampir tiba di rumah. 

Akibat dari kemalangan itu, ayah ditahan di ICU selama dua hari sebelum menghembuskan nafas terakhir dua hari kemudian. 

Sekarang, sudah tiada siapa-siapa lagi yang boleh mengawal hidup aku dan tiada siapa-siapa lagi yang nak marahkan aku lagi. Ayah tinggalkan aku begitu sahaja tanpa sempat aku meminta ampun darinya.

Sekarang aku tak tahu bagaimana nak mulakan hidup. Bila ayah sudah tiada, barulah aku sedar betapa berharganya dia dalam hidup aku selama ini. Malangnya aku mensia-siakan dia. Aku selalu menganggap dia kejam. 

Bila peguam dah bacakan wasiat ayah, aku rasa seperti disambar petir. Setiap sen aset ayah semuanya menjadi milik aku. Sekarang aku benar-benar tidak tahu bagaimana nak meneruskan hidup aku dengan amanah yang sangat besar. Kawan-kawan aku semuanya sedang sibuk belajar dan aku pula terpaksa menghadap amanah ini yang mana belum sampai masanya aku menggalas tanggungjawab ini. 

Dulu, selepas arwah ibu aku meninggal, aku pernah menangis sebab tidak pandai membancuh milo untuk minum sendiri. Kalau perkara kecil pun aku tak mampu nak buat, bayangkan pula bagaimana keadaan aku nak uruskan perkara-perkara yang besar? Serius aku buntu dan tak tahu nak bermula dari mana. 

Kalaulah aku boleh undurkan masa, aku tak mahu ayah aku meninggal. Aku mahu dia ada bersama dengan aku sampai aku bersedia untuk memikul tanggungjawab. Tetapi betullah kata orang, kita hanya akan menghargai sesuatu bila ia telah hilang dari kita.

Sekarang, aku rindukan ayah sangat-sangat. Aku rindu setiap bebelannya dan cara didikannya. Tetapi itu semua sudah terlambat. Andai aku diberikan peluang kedua, aku cuma mahu meminta ampun daripadanya. Buat korang yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah mereka dan jangan jadi seperti aku. | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.