'Anak-Anak Dara Sekarang Kenal Ke Kain Batik?'


Hidup sebagai orang Melayu selama 40 tahun ini mesti tahu budaya orang Melayu. Dulu teringat nenek bercerita tentang kain batik. Anak-anak dara sekarang kenal ke bain batik? Tahu ke cara memakainya? Aku yang lelaki ini pun tahu kot. 

Hari ini saya pergi ke pasar raya Tesco, ternampak seorang kakak ini menolak troli dengan anak-anaknya sambil berkain batik. Saya lihat, beberapa kakitangan di kaunter mentertawakannya. Saya perasan kain batik yang dipakai oleh wanita itu bukan kain batik sebarangan kerana benangnya nampak halus dan kepala kain dan cantingnya sni lain dari batik yang murah.

Semasa beratur di kaunter pembayaran, saya tegur dia. 

"Cantik kain batik akak, lain daripada kain batik ibu saya," kata saya padanya.

"Oh, kain batik yang akak pakai ini kain batik peninggalan arwah nenek akak. Secara tidak langsung ia menjadi kain kesayangan akak," katanya.

Saya mengangguk faham. 

Bila saya berlalu keluar dari Tesco, saya nampak sekumpulan remaja lelaki mentertawakannya. Saya pandang muka mereka, budak-budak baru nak meningkat remaja, apalah yang mereka tahu tentang kain batik?

Tindakan itu adik-adik itu membuat saya terus melirik ke arah kepala kain batik wanita itu. Hmm, betul dah, berada di belakang punggung akak itu. Terus membuatkan saya teringat. 

Ibu bapa sekarang mana nak ajar anak-anak pakai kain batik? Bagi saya adalah salah ibubapa yang tidak mengajar cara pemakaian kain batik dan simboliknya pada si pemakai. 

Arwah nenek ajar,

"Kalau anak dara pakailah kepala kain di tepi. Ini menunjukkan kita adalah anak dara. Bila dah kahwin, tukarlah kedudukan kepala kain di belakang kerana itu menunjukkan kita sudah mempunyai suami.

"Namun kalau jodoh tidak panjang, tukarlah kepala kain di hadapan agar orang tahu kita adalah janda," katanya.

Cara pemakaian kain batik ini juga ada dalam ungkapan tradisional Melayu-Riau tulisan Tennas Effendy kalau tidak silap.

1. Kepala di belakang - sudah berkahwin
2. Kepala di kanan - anak dara
3. Kepala di kiri - janda

Ada sedikit perbezaan dari apa yang arwah nenek ajar tetapi tidak mengapa. Maksudnya tetap sama. Keselesaan berkain batik ini terpulang kepada si pemakai. Tetapi bagi saya, kalau di rumah kain batik dan t-shirt adalah pakaian seksi untuk bakal isteri saya. - Malaysian Facts | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.