Bayi 10 Bulan Lebam Ditampar Pengasuh


Bersabarlah duhai hati, kuatlah duhai anak. Nawra sayang, maafkan ummi dan papa terpaksa meninggalkan Nawra dengan orang lain kerana pergi mencari rezeki. Nawra sayang, maafkan ummi dan papa yang tidak pandai menilai orang. Kami fikir manusia berhati suci punya kasih dan sayang terhadap bayi sekecil Nawra. Segalanya nampak sempurna untukmu sayang.

Tidak pernah terlintas orang akan memukul anak ummi ini sampai begitu sekali. Apa dosa bayi 10 bulan yang masih belum boleh merangkak dengan baik, apatah lagi memanjat atau nakal. Sungguh hancur hati ummi apabila pengasuh mengaku menamparmu. Hancur hati ummi bila Nawra menangis dan hari kelima ini, bengkak di muka masih belum surut. 

Tak dapat ummi bayangkan betapa kuat pengasuh menampar Nawra sehingga lebam berbirat, betapa kuat Nawra menangis, betapa takutnya Nawra melalui hari-hari tanpa ummi dan papa.

Patutlah selama ini Nawra sangat takut dengan orang sekeliling. Langsung tak boleh berpindah tangan dari ummi dan papa, tak boleh sesiapa ambil dan dukung Nawra daripada kami. 

Rupanya Nawra trauma dan takut ummi dan papa hilang lagi dan lagi. Sungguh bukan mudah memaafkan bila hati sangat sakit. Tetapi ummi redha dengan apa yang sudah terjadi. 

Kami maafkan pengasuh Nawra kerana dia juga punya anak sekecil kami sayang. Ummi tidak mahu dia hilang ibunya kerana ini. Ummi tidak mahu dia melalui hari-hari sepertimu, takut tanpa ibunya di sisi. 

Papa tahu ummi sedih, ummi tahu papa marah. Papa ajar ummi untuk melupakannya. Jangan ada dendam supaya hati tenang. Ummi redha, papa juga redha sayang. 

Jangan takut lagi Nawra, walaupun tanpa kami, kau punyai Allah duhai anak. Semoga Nawra sihat selalu dan membesar menjadi anak perempuan yang cerdik serta solehah. InshaAllah. - Nadea Teja | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.