Berkat Masak Dengan Keikhlasan


Isnin lalu, saya buat keputusan untuk balik ke Bangi pada awal pagi Selasa. Isteri pun meminta saya berehat secukup-cukupnya sebelum balik nanti. Saya pun tulislah di dalam WhatsApp group keluarga yang saya akan balik pada keesokkan harinya. 

"Bolehlah masak lagi," balas abang saya selang beberapa minit kemudian. Saya hanya menjawab "Okay" sahaja.

Dari Temerloh nak ke Mentakab, saya asyik berfikir nak masak apa bila balik nanti. Duit pula sudah tinggal RM30 di dalam dompet. Saya pun kenyit-kenyit mata pada orang rumah, dan dia pinjamkan saya RM100. Saya melenggang sahaja masuk ke pasar dan mencari apa yang sesuai untuk dimakan bersama sekeluarga. 

Ya, kali ini kesemua tujuh beradik balik. Campur tolak lebih kurang ada 20 orang tidak termasuk yang di dalam perut.

Sudah semalamnya makan rendang ayam, ikan patin tempoyak, udang masak lemak bagai, jadi saya pun belilah tulang lembu dalam empat kilogram, campur sedikit dengan ekor. Maka dapatlah sedikit daging tidak sampai satu kilogram.

Dalam kepala saya, adik beradik saya taklah suka sangat makan malam, semuanya kaki TV dan kaki sembang kalau malam-malam buta ini. Jadi, duit yang ada itu bolehlah cukup-cukup. 

"Alhamdulillah,"

Dalam perjalanan balik ke rumah ibu, isteri memberi penerangan yang luar biasa. Katanya tulang dan daging yang saya beli tadi seperti tidak mencukupi. Dia kata, kalau mengikut keluarganya, jumlah itu sememangnya tidak mencukupi. Okay, saya sudah menjadi tidak keruan.

Sampai sahaja di rumah saya buat-buat tak beli kentang. (Hahaha!) Jadi saya pesanlah kata abang yang kurang kacak dari saya belikan. Kemudiannya, beliau belikan roti. Oh hoi! Pada masa itu, saya sudah berdebar-debar. lain macam aura nak masak sup malam ini. Cukup ke tidak?

Saya pun punggahlah periuk ibu yang paling besar, didihkan air. Siapakan semua bahan dan masukkan dalam periuk. Ya Tuhan, hanya ada 1 per 4 sahaja isi di dalam periuk tersebut. Tambah dengan kentang pun masih nampak sedikit.

Saya cool sahaja dan masak sehingga siap. Terkumat-kamit membaca selawat bagai (Hahaha) dalam hati ini asyik berdoa yang penting semua dapat merasa, seorang sedikit pun okaylah. 

Sambil menunggu sup masak, abang saya ajak solat bersama-sama. kami pun solat berjemaah. Waktu ini, Tuhan sajalah yang tahu saya berdoa bagaimana. Macam nak mengambil keputusan SPM. Setiap sujud saya memohon padaNya agar cukupkanlah sup saya pada malam ini.

Siap sahaja memasak, abah saya ambil semangkuk besar, menggunung tinggi. katanya dia dah lama mengidam. Saya telan air liur. Anak-anak saudara yang sudah besar panjang pun berulang kali menambah. Isteri saya juga boleh tahan repeat. Abang kakak yang sudah berkahwin, bukan main berkongsi mangkuk cicah roti bersama-sama. Saya sudah berdebar-debar, takkan nak sound yang tulang itu sikit sahaja? 

Kakak ipar saya yang berbadan dua juga ambil, bertambah-tambah. Makan pula dengan kicap cili, fuh! Meletup! Saya relaks dan cool, jangan ambil lagi. Konon-konon badi orang masak tak berapa lalu nak makan. Saya perhatikan sahaja semua dah ambil dan siap bertanya semua dah makan ke belum. 

Saya pun ke dapur dan mengambil senduk dan ceduk. 

"Eh? Kenapa banyak lagi?"

Saya pun tanya dua tiga kali pada semua orang, "betul ke korang semua dah makan?" 

Mereka semua mengangguk. Saya pun cakap pada ibu, satu-satunya yang melihat jumlah yang saya beli semasa saya membasuh tulang dan daging tadi.

"Kenapa banyak lagi eh mak? Macam pelik juga. Kan semua orang dah ambil banyak-banyak?"

"Berkat," jawab ibu saya dengan relaks dan ringkas seperti tiada apa-apa. 

Saya terdiam. Hirup sup perlahan-lahan, jadi orang yang terakhir menjamah masakan sendiri.

Tuhan tolong saya dengan cukup bergaya pada malam itu. Cukup sekadar memberi kegembiraan pada perut sekeluarga. Jika pada malam itu mereka tidak tahu cerita ini, hari ini mereka bakal tahu.

Saya tidaklah banyak wang ringgit nak membantu keluarga dengan menabur-nabur kekayaan. Tetapi adalah sedikit kemahiran memasak yang boleh diberi untuk mengembirakan ibu bapa melihat anak-anaknya berkumpul makan bersama-sama.

Dalam dunia ini, kalau dapat kita kongsikan kemahiran yang kita ada dengan adik beradik dan keluarga. Itulah syurga yang kita akan dapat semasa kita hidup. Mereka ini adalah manusia yang pernah berkongsi rahim dalam perut ibu kita. Mendapat segala zat dan makanan dari mulut ibu dan kemudiannya mendapat didikan dan asuhan dari tangan ibu bapa kita sendiri. Itulah namanya adik beradik.

Walau Tuhan memberi seribu kepelikan dan banyak perbezaan, sesudah dewasa, adik beradik tetap adik beradik, keluarga tetap keluarga.

Pada malam itu, Tuhan menolong saya, mungkin sebab saya tolong ibu gembirakan semua anak-anaknya. 

Kawan-kawan, bila balik ke kampung, boleh sahaja kita tolong yang mana kita tahu. Jika hanya tahu memasak air, boleh tengok-tengokkan air di dalam peti ais, boleh juga perhatikan ada air panas atau tidak. Jika kita hanya tahu mengemas, boleh sahaja kita ringan-ringankan tulang mengemas sana sini. Semua itu akan menjadi kesayangan dalam pandangan Tuhan.

Jika ternampak ada pinggan di dalam sinki yang belum dibasuh, lalu sekejap dan basuhlah sebentar.


Tolong ibu, tolong bapa banyak-banyak. Tuhan pula akan menolong kita banyak-banyak. Tidak secara cash, mungkin Tuhan akan beri kita anak-anak yang rajin atau rezeki yang kita tidak sangka-sangkakan. - Khairul Hakimin Muhammad | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.