Hari Ini Merupakan Hari Terakhir Aku Menjadi Isterimu Sayang

Foto Quyun Zulkifly

Hari-hari yang datang, aku lupa hari apa. Berapa haribulan semua aku lupa. Tetapi namamu aku tidak akan pernah lupa wahai suami. 

Hari ini, 15 Februari 2016, genap empat bulan kau tinggalkan aku. Kalau nak diikutkan dalam sijil nikah yang aku tengok tadi, sudah jatuh ******. Allahuakbar.  Hari ini merupakan hari terakhir aku menjadi isterimu sayang. 
Kenapa semua ini terjadi dalam perkahwinan kita? Kenapa? Kebahagiaan kita tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Kau pergi meninggalkan aku tanpa khabar dan pengakhirannya sungguh menyayat hati. Pedihnya tidak terkata, lukanya sampai mati akan terus terukir. 

Wahai lelaki yang bergelar suami, percayalah bahawa aku tidak akan pernah melupakan kamu. Rasa sayang rasa rindu tidak pernah hilang sehingga ke hari ini. Tidak mungkin aku akan berjumpa dengan kamu, dengan senyuman seperti hari-hari aku menyambut kepulanganmu dari kerja. 

Sayang, percayalah bahawa setiap hari aku menunggumu di depan pintu. Dari 15 Oktober 2015 sehingga ke hari ini. Pintu sentiasa setia menunggumu, begitu jugalah hatiku yang menaruh harapan tinggi agar kamu pulang. 

Tetapi, sehingga ke hari ini, kamu tidak juga pulang. 

Kenapa orang ketiga perlu ada dalam hubungan kita? Kenapa? Apa salah dan dosaku? Apa kelebihan dia dan apa kurangnya aku?

2 tahun 5 bulan 10 hari usia perkahwinan kita, sungguh aku menjaga perkahwinan kita dan menginginkan kebahagian sehingga ke syurga. 

Maafkanlah aku kerana tidak dapat mempertahankan rumahtangga kita. Rumahtangga kita telah hancur kerana orang ketiga yang tidak berhati perut, yang sanggup melihat rumah Allah hancur. 

Hari ini merupakan hari terakhir aku menjadi isterimu sayang. 

Kepada perempuan bernama Nor Shahida binti Tohair, terima kasih kerana datang menghancurkan rumahtangga aku. Terima kasih kerana memberi penderitaan padaku.

Kepadamu sayang, dengan rela hati aku melepaskan kau pergi pada perempuan yang kau inginkan itu. Demi kebahagiaanmu, pergilah sayang, pergilah. Aku lebih rela hidup menderita dari berkongsi kasih sayang. Aku berjanji setiap saat ini aku tidak akan muncul lagi di depan matamu. Tataplah wajah isteri barumu walaupun perit, aku tetap akan menerima.

Wahai suami, lepaskanlah aku dengan cara baik sepertimana kau mengambil aku, pulangkanlah juga dengan cara baik kepada ibu bapa aku. Aku masih ada ibu bapa yang sihat. Tidak salah kalau datang dan pulangkan aku dengan cara yang baik.

Untuk hari terakhir bergelar isteri

Kepada suami dan perempuan yang merampas kebahagian aku, terima kasih sangat-sangat kerana kamu berdua sudah berjaya membuatkan hidup aku menderita. 

Untuk suami, jagalah isteri barumu seperti mana engkau menjaga aku dahulu. Bahagiakanlah dia seperti mana engkau bahagiakan aku dahulu. 

Untuk perempuan yang merampas kebahagiaan aku, sekarang giliran kau pula mengambil alih tempat aku. Jangan bina kebahagiaan di atas penderitaan orang lain. 

Cubalah untuk bahagia. Ada sebab mengapa Allah pisahkan aku dengan suami. Ada sebab yang tertentu mengapa Allah Ta'ala menguji kehidupan aku. Terima kasih Allah kerana masih lagi mengasihi aku. 

Kepada insan yang selalu mendoakan Ayu, tidak kiralah di mana anda semua berada, terima kasih sangat-sangat. Ayu baca semua komen-komen anda semua. Terima kasih kepada anda semua. 

Kepada insan yang selalu komen yang bukan-bukan, terima kasih juga. Ayu tidak marah pun. Kita cuma tak merasa, cuba ambil hati Ayu dan letakkan pada hati anda dan mesti anda meraung meminta keluar. Tetapi tidak mengapa, komenlah apa pun, Ayu takkan marah.

Kepada suami, berbahagialah. Kepada manusia bergelar perempuan, tolonglah fahami isi hati aku, bagaimana deritanya apabila kebahagian dirampas. 

Untuk saya, tidurlah, pejamkan mata dan anggap semua ini mimpi dan mainan tidur. InshaAllah bahagia menantimu kelak. - Quyun Zulkifly | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.