'Kakak Dah Kenapa Nak Halang Saya Kahwin Dengan Ustaz?'


Kekasihku Ustaz... Ini sekadar perkongsian hati dan juga peringatan buat semua gadis.

Dua tahun yang lalu, saya berkenalan dengan seorang lelaki. Dia berkhidmat dengan badan beruniform. Dalam masa yang sama dia seorang ustaz.  Kacak, saya sangka dia beriman penuh ilmu di dada. Saya hormat. Saya bertemu buat pertama kali, saya bukakan pintu hati seluas-luas alam untuk dia.

Alhamdulillah, doa saya untuk kenal dengan lelaki baik untuk dijadikan sebagai teman hidup telah termakbul. Pada masa itu dunia saya rasakan bagai syurga. Sebuah proses perkenalan yang singkat, membawa kami kepada perbincangan untuk menikah.

Kebetulan pada masa itu, saya semester akhir diploma. Ibu dan ayah setuju, siapalah yang tak mahu mendapat menantu seorang ustaz, betul tak?

Masa hangat isu nak kahwin itu, kakak menghubungi saya. Beza umur kami, 10 tahun saja. Dia kata, hentikan semua ini kerana saya masih muda.

"Kenapa perlu kahwin? Kalau nak kahwin pun, kahwinlah dengan lelaki lain," katanya yang membuatkan saya geram, sedih dan bengang dengannya.

"Kakak dah kenapa nak menyekat kebahagiaan saya?" dan dari sinilah saya mula berdendam dengan kakak.

Tetapi tidak mengapa, dunia saya masih indah bersama dengan dia. Semua telah dirancang dan diatur dengan baik.

Sebaik saja tamat diploma, saya balik ke kampung menjalani hidup seperti biasa. Cuma saya dengan dia sudah jarang berhubung. Tidak seperti sewaktu kami di universiti dulu. Siang malam ada saja khabar berita, ada saja cerita yang mahu dikongsikan bersama.

Tetapi kali ini, semuanya telah berubah. Hari ini saya hantar mesej panjang berjela, esok luas baru dibalas. Itupun sepatah saja. Saya mula mengesyaki ini semua kerja kakak, maka bertambahlah dendam saya terhadap kakak.

8 bulan selepas tamat diploma, kakak koma seminggu. Kemudian kakak kembali menghadap ilahi kerana 'kematian otak'. Seriously perkara ini berlaku secara mengejut. Seminggu kakak saya koma, seminggu itulah saya beritahu perkembangannya pada ustaz itu. Dia balas nak tak nak. Adakalanya langsung tidak dibalas. Tak mengapa.

Arwah kakak selamat dikebumikan pada siang hari yang sama. Kuasa Allah, malam itu juga saya mendapat tahu yang ustaz itu sebenarnya bercinta dengan orang lain. Semuanya terungkai selepas kakak sudah tiada.

Tahu tak apa yang saya rasa pada masa itu? Saya rasa nak panggil kakak, nak peluk minta ampun dan maaf. Saya marah dia, dendam dengan dia gara-gara seorang lelaki sampai akhir hayatnya. Saya tidak tahu sama ada kakak memaafkan saya atau tidak.

Saya menjadi penyiasat selepas semuanya terbongkar. Saya cuba mencari perempuan itu dan tanya semua persoalan. Bila saya sudah mendapat jawapannya, saya 'blah'. Manakala perempuan itu seperti tiada perasaan terkejut atau rasa bersalah.

Betul ini soal jodoh, tak ada jodoh saya dengan dia. Berkahwinlah kau orang, silakan.

Kakak kedua saya ada kata, kakak saya yang meninggal itu ada firasat. Contohnya jika dia rasa perkara itu tidak elok, maka memang tidak eloklah. Kalau dia rasa akan ada benda yang tidak baik berlaku, tidak alam selepas itu memang akan berlaku. Cuma saya yang tidak sedar kenapa dia beria-ria sangat tak beri saya berkahwin dengan ustaz itu. Sanggup dia menelefon saya setiap hari memujuk agar putuskan hubungan itu dan cari lelaki lain.

Sekarang, saya tahu ustaz itu sedang rancak menyiapkan majlis perkahwinannya. Sementara itu saya sibuk sambung degree. Walaupun sudah dua tahun berlalu kisah saya dengan ustaz itu, kakak pun sudah tiada, namun semuanya saya masih berada dalam ingatan ini.

Buat semua gadis yang membaca perkongsian ini, jagalah hanti anda dan jangan sesekali membentak andai ada ahli keluarga yang menasihati. Hilang kekasih boleh dicari ganti. Tetapi hilang keluarga? Renung-renungkanlah.

Untuk kakak, maafkanlah adikmu ini. Sesungguhnya saya jahil dalam mengenal erti cinta. Moga syurga buatmu kakak. Untuk ustaz dan pasangannya, selamat menjalani alam bahtera rumah tangga. Moga mendapat keberkatan dan kebahagiaan. - Nur Iman | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.