'Kerja Mereka Tak Setimpal Dengan Gaji/Cukai Yang Korang Bayar'


Kawan-kawan, saya online dari dalam wad. Sejak kebelakangan ini, banyak cerita yang tidak elok tentang kakitangan hospital yang diviralkan di media sosial. Saya nak cerita sedikit pengalaman saya sejak dimasukkan ke wad kelmarin.

1. Ada seorang jururawat yang sedang sarat mengandung. Semasa saya masuk petang kelmarin, dia ada. Sekarang dah jam 10.45 pagi, dia masih belum balik lagi. Dia masih lagi gagah ke sana sini melayani pesakit. 

2. Ada seorang jururawat yang tangannya masih bercucuk jarum. Dia bawa saya periksa jantung menggunakan mesin. Saya, kalau tangan sudah dicucuk jarum seperti itu nak mandi, nak pakai baju, nak solat, punyalah seksa. Tetapi jururawat ini selamba saja menjalankan tugasnya. 

3. Ada seorang doktor, entah bila entah dia tidur. Petang semalam, dia scan saya sambil membebel-bebel pada doktor baru. Tengah malam dia masih ada lagi dengan baju operationnya. Pagi ini, dia masih ada lagi untuk melawat pesakit sambil mengomel pada doktor baru. Bila masa doktor ini nak tidur?

Saya cuma nak cakap, janganlah kutuk-kutuk jururawat dan doktor kerajaan. Mereka bekerja tidak setimpal dengan gaji atau cukai yang kau orang bayar itu. Saya pun tak sanggup kerja sampai ke tahap itu. Kau orang sanggup?

Membebel dan mengomel yang saya katakan bukan tentang bebanan kerja tetapi nak mengajar doktor yang baru buat kerja dengan betul. Doktor baru pun dilatih untuk menerima tekanan kerja. 

Pagi ini pula, saya dikunjungi oleh tuan pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, doktor Mohamad Omar. Beliau diiringi kakitangannya, Metron dan pegawai perubatan. 

Mereka bawakan buah tangan untuk saya dan ucap terima kasih di atas tulisan saya di atas kerana menghargai pekerjaan jururawat dan doktor di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. 

Kata pengarah, jarang pesakit ucap terima kasih kepada kakitangan hospital. Justeru, tulisan saya itu membuatkan mereka terharu. Saya kata, saya cuma berkongsikan apa yang saya perhatikan di hospital. Saya hormati dan hargai penat lelah jururawat dan doktor merawat pesakit. 

Saya katakan, perkhidmatan kesihatan mereka adalah yang terbaik di Malaysia. Sebab itulah saya galakkan anak-anak bekerjasama dengan pihak hospital dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan mereka seperti kempen menderma darah. 

Saya sangat teruja dengan kunjungan tuan pengarah yang tidak disangka-sangkakan itu sampai terlupa nak merakam gambar. Hanya gambar buah tangan ini saja yang sempat dirakamkan. - Hazlyn Ismail | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.