Peniaga Nasi Kandar Maut Ditembak


GEORGETOWN - Seorang peniaga restoran nasi kandar didapati maut ditembak dari jarak dekat dalam kejadian di Jalan Datuk Keramat awal pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.30 pagi itu, mangsa Syed Amin Zainul Abidin, 46, yang memandu kereta jenis Mercedes Benz berhenti di depan sebuah kedai motosikal sebelum dihampiri oleh dua suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zakaria Ahmad berkata, suspek telah melepaskan tujuh das tembakan ke arah mangsa. Mangsa terkena empat das tembakan di bahagian badan dan satu das lagi mengenai bahagian kepala menyebabkan mangsa maut serta merta di tempat kejadian.


Suspek juga turut melepaskan dua das tembakan ke arah dua anggota RELA yang sedang bertugas mengawal premis perniagaan berdekatan, namun tidak mengenai sasaran. 

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih dalam proses mengenalpasti motif serangan.

Mangsa sebelum ini pernah menggegarkan sebuah cawangan Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) yang didakwanya makan rasuah sehingga menimbulkan masalah pada dirinya, viral di laman sosial. 

Menurut netizen, beliau juga banyak membantu mempertahankan kampung-kampung dan gerai-gerai orang Melayu daripada dirobohkan pihak berkuasa tempatan.

Terdahulu, pada 4 Disember lalu, mangsa pernah memuat naik status yang mengatakan dirinya pernah diugut tembak mati. 

"Satu hari nanti akan terjadi pada aku sebab aku pernah terima ugutan sebegini. Sebab bila kita di jalan yang lurus, manusia tidak suka. Tetapi aku tidak takut mati. 

"Jangan curi makan, mari berdepan. Ajal maut bukan di kalanganmu, di tangan Allah swt," katanya. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.