Rakyat Malaysia Gemar Merungut


PETALING JAYA - Merungut. Itulah gambaran sikap rakyat Malaysia yang gemar mengomel mengenai pelbagai isu yang melibatkan peningkatan kos hidup kebelakangan ini. 

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian umum, premis perniagaan, makanan dan sektor perhotelan misalnya sentiasa dipenuhi pelanggan di kalangan rakyat tempatan. Situasi itu juga disokong dengan fakta hasil kajian yang dibuat oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) di mana tahap kesedaran pengguna pada ketika ini adalah 58%, manakala kuasa pasaran pengguna lebih rendah iaitu 51%.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, situasi itu tidak membantutkan usaha kerajaan untuk terus memastikan pengguna tidak mengabaikan hak mereka.

"Dalam apa juga situasi, akhirnya kuasa pengguna yang akan menentukan keadaan pasaran. Jadi, pengguna perlu bijak berbelanja. Walaupun ada yang merungut tetapi masih ada yang terus dengan gaya hidup yang tidak mencerminkan apa yang mereka sering rungutkan.

"Jalan yang terbaik adalah, rakyat menggunakan hak bagi memastikan kuasa pasaran masih bergantung kepada mereka," katanya dalam temubual bersama mStar Online, semalam.

Menurutnya, hasil kajian yang dijalankan oleh UPM itu menggambarkan realiti sebenar kehidupan rakyat Malaysia.

"Peratusan itu juga menunjukkan usaha masih perlu dilaksanakan untuk mendidik pengguna agar tidak mengabaikan hak mereka. Jika peniaga perlu mematuhi etika, pengguna juga sepatutnya begitu dan bijak berbelanja," katanya. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.