Shahrul Didenda RM2,000 Salahguna Dadah


KUALA LUMPUR - Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, yang dibicarakan bagi kes mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat tahun lalu, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah di atas pertuduhan penyalahgunaan dadah, lapor Bernama.

Shahrul turut diperintahkan dipenjara selama sebulan jika gagal menjelaskan denda itu selain menjalani tempoh pengawasan polis selama dua tahun. Bagaimanapun Shahrul membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Shahrul didakwa melakukan kesalahan memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badan di tandas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Dang Wangi pada 4.15 petang, 12 Julai 2015.

Shahrul didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama yang membawa kepada hukuman denda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga 2 tahun dan boleh dikenakan pengawasan polis sehingga 3 tahun. 

Bagaimanapun peguam tertuduh, Ihsan Busyro Zakaria, merayu pada mahkamah agar anak guamannya itu dikenakan hukuman denda kerana tertuduh bekerja dengan gaji harian sebagai pemunggah barang dan perlu menanggung ibunya yang bisu dan bapanya yang pekak.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne, memohon tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengarajan kepadanya dan masyarakat. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.