4 Tahun Bersama, Akhirnya Awak Nikah Dengan Lelaki Lain


Ini adalah kisah saya yang benar. Bercinta dengan saya selama 4 tahun, akhirnya bernikah dengan orang lain. 

Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan saya bila mendapat mesej dan gambar dia berkahwin pada 6 Mac 2016, iaitu semalam. Baru 2 bulan tidak berjumpa, tetapi mesej seperti biasa.

Patutlah awak tidak reply mesej saya, rupanya orang tengah sarung cincin di jari awak. Tahu-tahu awak hantar gambar awak berkahwin dan beritahu yang awak tidak boleh melayani saya lagi kerana awak sudah menjadi isteri orang.

Kekecewaan di hati ini hanya Allah sahaja yang tahu. Setelah sekian lama, dari 4 tahun selepas saya berpindah ke Kuala Lumpur semata-mata mahu berada dekat dengannya. Sanggup saya utamakan dia dari segala-galanya, sampaikan masuk kerja pun lambat, kena marah bagai semuanya untuk dia.

Pergi kerja, balik kerja selama 4 tahun inilah tangan yang menghantar dan menjemputnya pulang. Berhujan, berpanas, basah kuyup, inilah orangnya yang tidak pernah mengeluh. Tak pernah terlupa nak menjemput dan menghantarnya. Sehinggalah dia sudah menjawat jawatan Pengurus di Garden Mid Valley.

Apa lagi yang perempuan ini mahukan? Tidak cukup lagikah apa yang telah saya lakukan untuk dia selama ini? Di hari dia bercuti, tak pernah tak keluar. Saya bawa dia keluar sebab tak mahu bagi dia bosan duduk di rumah. Sampaikan saya pun tak pergi kerja semata-mata untuk temankan dia. Sayang punya pasal, siapa tak sayang awek kan? 

Saya serahkan diri saya sepenuh hati pada dia. Setiap masa teringat dan memikirkan tentang dirinya. Tidak terlintas di hati ini untuk mencari yang lain. Saya setia pada dia. Walaupun keluarga dia tidaklah bagus tetapi saya boleh menerima seadanya. Bukan tak kenal makcik pakcik dia semua sepupu sepapat. Semua dah pernah kenal dan beraya sekali.

Tuhan sahaja yang tahu betapa kecewanya hati ini. Ya Allah, nanti kawan-kawan tanya apa saya nak jawab? Nenek tanya, apa saya nak jawab? Mak, ayah, sepupu sepapat saya tanya, apa yang saya nak jawab? Tak sanggup saya beri jawapan yang dia telah bernikah dengan orang lain.

Ya Allah, apa yang kau buat sekarang benar-benar membuatkan hambaMu ini terduduk. Kau buat hambaMu ini tidak mampu berdiri. Tetapi apa pun saya akan teruskan hidup. Walapun saya bukan orang yang senang, handsome atau kaya, tetapi saya bertanggungjawab terhadap awak semasa saya kenal awak sampailah awak nikah.

Saya tidak akan menganggu awak dan tidak akan berjumpa dengan awak lagi. Andai suatu hari kelak bila saya sudah tiada, awak ingatlah nama saya ini yang pernah bersusah payah dan senang bersama awak. Bukan apa, saya rasa terkilan sangat dengan apa yang awak buat. Tak sangka betul.

Ya Allah, saya menulis setiap apa yang saya tulis ini adalah dari hati saya sendiri. Menitis air mata ini mengenangkan kembali apa yang awak buat ini. Saya hanya boleh berdoa semoga awak berbahagia. Saya sayangkan kenangan, sayangkan sekian lama dengan awak 4 tahun, susah payah senang bersama-sama. Tetapi awak tak pernah fikirkan perasaan saya.

Sekarang, biarkan saja semuanya berakhir di sini. Saya pergi demi awak berbahagia. Semoga awak berbahagia dengan pasangan baru. Allah maha besar, maha pengasih, lagi maha penyayang. Biar Allah yang saksikan segala-glanya. Setiap apa yang anda buat saya tidak akan balas. 

Tetapi bila satu saat awak terkena seperti ini, awak ingatlah nama saya. Saya nak awak tahu yang saya bersungguh-sungguh kecewa dengan apa yang awak buat. Selepas saya curahkan segala kasih sayang, hati saya pada awak, terima segala kebaikan dan keburukan awak, terima seadanya keluarga awak. 

Saya berkongsi cerita ini supaya saya berasa lapang. Kawan-kawan saya juga terkejut, apatah lagi saya bila sampai mesej perkhabaran yang dia telah bernikah dengan lelaki lain. 

Ini bermakna dia telah kenal lelaki lain semasa awak masih bersama dengan saya. Berulang kali awak dah buat begini. Tapi ini yang paling dalam yang saya rasa. Saya sanggup bertahan lama kerana sayang dan cinta. Tetapi awak balas begini, sungguh saya terkilan.

Tak apalah, bukan jodoh saya. Apa-apa pun saya tetap akan teruskan hidup saya. Bila ibu tahu, ibu menghubungi saya dan menyuruh saya bersabar. Serta merta hati saya menjadi sejuk. Hari ini hari awak, esok-esok hari saya pula. - Tiada Nama | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.