68% Rakyat Malaysia Banyak Berhutang


KUALA LUMPUR -  Sebanyak 68% rakyat Malaysia dibebani dengan hutang dan peratusan itu merupakan kadar tertinggi dalam kalangan lapan pasaran yang ditinjau di Asia, lebih dua kali ganda purata serantau sebanyak 33%, menurut kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI), lapor Utusan Malaysia

Anggaran purata hutang di Malaysia adalah RM56,000 iaitu kira-kira 10 kali lebih tinggi daripada purata pendapatan peribadi bulanan individu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Holdings Bhd., Mark O ‘Dell, kaji selidik yang dilakukan itu me­nunjukkan tahap bebanan hutang yang ditanggung pada masa ini adalah tinggi dan ini amat membimbangkan.

“Dengan keadaan pa­saran kewangan yang tidak menentu dan keadaan perkembangan ekonomi yang perlahan, individu harus menguruskan serta mengatur pergerakan kewangan mereka bagi mengelakkan daripada dibebani terlalu banyak hutang.

“Tanpa pengurusan hutang yang efektif, rakyat Malaysia tidak akan mampu mencapai matlamat simpanan jangka panjang dan ini boleh menjejaskan keselamatan kewa­ngan mereka pada masa hadapan.” katanya. 

Hutang rakyat negara ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh perbelanjaan keperluan hidup sebanyak 60%, bayaran sewa kediaman 44% dan pelajaran anak-anak 37%.

“Lebih membimbangkan lagi, kebanyakan daripada hutang yang ditanggung adalah bersifat jangka panjang dengan 1/4 da­ripada mereka yang berhutang tidak dapat membayarnya selama tiga tahun atau lebih. Paras hutang yang tinggi mencerminkan pengurusan kewangan yang lemah, dan kegagalan mengurus aliran tunai dengan berkesan,” ujarnya.

Selain daripada kelemahan dalam menguruskan wang simpanan, 74% daripada individu yang diselidik menyatakan mereka seharusnya melakukan pe­rancangan pelaburan dengan lebih baik, manakala 28% menyatakan mereka seharusnya lebih aktif dalam mengkaji semula portfolio mereka dan 27% menyesal kerana mempunyai terlalu banyak tunai di dalam tangan.

Kaji selidik terbabit adalah berasaskan 500 temu bual di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun, Singapura, Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Sebanyak 89% daripada responden Malaysia memantau perbelanjaan mereka secara tetap, manakala 44% membelanjakan 70% atau lebih daripada pendapatan bulanan mereka setiap bulan yang menunjukkan mereka tidak memantau perbelanjaan untuk berjimat. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.