'Angkat Beg Penumpang, Bukan Kerja Saya' - FA AirAsia


Salam semua. Saya nak kongsi satu cerita dengan anda. Perkara ini berlaku sewaktu saya dalam perjalanan pulang dari Hatyai ke KLIA2 semalam. 

Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku dalam penerbangan Air Asia semalam. Jadi, apa yang berlaku ialah, sepupu saya (perempuan), tidak larat mengangkat bagasinya yang sangat berat untuk diletakkan pada ruang penyimpanan dalam pesawat. Lalu dia meminta pertolongan dari seorang Flight Attendant (FA) yang bertugas pada waktu itu. 

"Encik, boleh tolong saya?" tanyanya dengan baik.

Dan anda tahu bagaimana pramugara itu membalas pertanyaan sepupu saya?

"Maaf, itu bukan kerja saya sebenarnya," balasnya sambil menunjukkan mimik muka yang menyampah pada sepupu saya. 

Mendengar jawapan FA itu membuatkan sepupu saya malu habis. 

"Tetapi saya tak dapat angkat nak letak dalam ruang penyimpanan," kata sepupu saya lagi. 

FA Air Asia itu masih buat muka malas nak melayan rayuan sepupu saya sehinggalah makcik saya menegurnya.

"Eh? Tolonglah budak-budak ini," kata makcik saya. 

Kemudian, barulah FA itu tersengih-sengih malu menolong sepupu saya mengangkat beg sepupu saya. 


Biar betul membantu penumpang mengangkat bagasi itu bukan tugas FA? Jadi, apa tugas FA yang sebenarnya? Lainlah kalau sepupu saya letak beg itu di bawah dan arahkan dia letak bagasi itu di bahagian ruang penyimpanan di atas. 

Sepupu saya meminta tolong dengan baik, sebagai manusia dan lelaki, takkanlah tak boleh tolong angkat bagasi itu?

Paling biadab sekali, sebelum kejadian itu berlaku, saya ada cakap dengan sepupu saya itu, tak perlu berbahasa inggeris dengan pramugara itu sebab dia orang Malaysia berbangsa Melayu. 

Saya cuba melihat nametagnya, kemudian FA itu sakit hati dan terus meletak tangannya di dada dan cakap dengan lantang dan laju, "Ya, saya Mohd Ridzwan dan saya orang Malaysia,"

Saya macam, "Whoaa! Chill ah!". Saya terus tak respon dan duduk di tempat duduk sambil menahan kemarahan yang meluap-luap sehingga menggigil satu badan. 

Mana adab awak encik Mohd Ridzwan? Sekarang ini, saya bukan nak memalukan awak tetapi di mana etika kerja awak? Dah berapa banyak kali agaknya perkara seperti ini berlaku?

Luahan ketidakpuasan hati Ainan Tasneem itu viral di media sosial turut menarik perhatian seorang FA, Tun Abaya (@ZainatunAdilah) di Twitter.

"Sebab itu sesetengah FA mengalami masalah slipped disc kalau tak jaga pinggang betul-betul. Bayangkan kalau FA bawa 460 pax, takkanlah semua 460 pax itu kami nak tolong angkat dan letak dalam ruang penyimpanan di atas?

"Sebenarnya FA ditegah untuk tidak mengangkat beg pax. Kalau seorang nak, semua nak tolong juga walaupun lelaki yang berbadan sado ketak-ketak. 

"Gaji kami dbayar selepas aircraft pushback and end after aircraft parked. Ruing pax embark and disembark, gaji kami mana ada jalan. LOLS!

"Walau bagaimanapun, kami sebagai FA akan membantu orang tua atau kurang upaya meskipun ianya bukan skop tugas kami," katanya. 

Sementara itu di laman Instagram Ainan Tasneem pula, gambar dan luahan tersebut telah pun dibuang, digantikan dengan penjelasan yang panjang lebar. 

"Saya selalu sangat deal dengan pihak penerbangan dan FA. Cuma kali ini saja timbul isu seperti ini dengan FA.

"Pokok pangkal cerita sebelum ini ialah, sepupu saya tak dapat capai ruang penyimpanan di atas untuk menyimpan bagasinya yang berat masih di bawah 7 kilogram. Jadi, kami pun minta tolong dari FA, bukannya menganggap FA sebagai kuli. 

"Saya minta maaf sebab mempertikaikan skop tugas FA, namun point utama ialah cara FA tersebut respon pada sepupu saya yang dipersoalkan. 

"Bukan saya tidak mahu membantu sepupu saya, tetapi saya sudah duduk di tempat saya sendiri dan tali pinggang keselamatan juga telah dipakai. Sementara itu sepupu saya berada di belakang serta kebetulan FA itu betul-betul ada di depannya. 

"Kami bukannya pemalas sangat sampai sengaja nak minta tolong FA dan menyusahkan FA. Dah tak sampai, minta tolonglah dari FA yang pada ketika itu tak ada buat apa-apa pun," jelasnya. - PIXEL MEDIA


No comments

Powered by Blogger.