Bukan Saja Dilumur Dengan Kway Tiaw, Malah Pelajar Autisme Turut Dipukul Guru Disiplin


SEREMBAN - Memandangkan kes yang menimpa seorang pelajar OKU SK Sikamat viral di media sosial, si ibu tampil menceritakan perkara sebenar, sekali gus menafikan dakwaan orang ramai yang kononnya anaknya mereka cerita. 

"Tergamak dia melumur kway tiaw goreng ke muka anak saya sehingga meraung kesakitan akibat matanya pedih. Saya sebagai ibu tidak sanggup melihat anak saya diperlakukan seperti itu," kata Norhimah Ibrahim, 34, lapor Harian Metro.

Kejadian itu berlaku pada 1 Mac lalu ketika waktu rehat di mana anak lelakinya berusia 8 tahun dan menghidap autisme itu juga turut dipukul oleh guru terbabit.

"Kejadian itu berlaku ketika anak saya baru nak mula makan selepas membeli makanan di kantin. Tetapi disebabkan beratur terlalu lama, anak saya dapat membeli makanan pada hujung waktu rehat. 

"Pembantu murid OKU meminta anak saya masuk ke kelas kerana waktu rehat sudah tamat. 

"Anak saya meninggikan suara kepada pembantu berkenaan, memberitahu yang dia mahu menghabiskan makanan terlebih dahulu. Namun, mungkin disebabkan tidak berpuas hati, lalu pembantu itu melaporkan perkara itu kepada guru disiplin yang kebetulan makan di situ.

"Dalam keadaan yang marah, guru terbabit menolak pinggan berisi kway tiaw goreng sehingga jatuh di atas kerusi. Dia kemudian mengutip mee itu semula ke dalam pinggan sebelum melumurkannya ke muka anak saya. 

"Bukan itu saja, guru terbabit juga turut menolak kepala dan memukul bahu anak saya berkali-kali," katanya. 

Menurut Norhimah, kejadian itu disaksikan sendiri oleh anak perempuannya yang bersekolah tersebut, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. 

"Kakaknya cuba memujuk si adik yang meraung kesakitan akibat mata pedih. Tetapi guru disiplin itu tidak membenarkannya. Malah, guru disiplin itu memberitahu dia mahu mengajar adiknya. 

"Ketika itulah dia menceritakan apa yang berlaku pada adiknya sambil menangis. 

"Sebelum itu, saya mengambil anak lelaki saya pada jam 1 tengah hari. Tetapi dia tidak memberitahu saya apa-apa mengenai kejadian itu walaupun saya ternampak kesan kotoran pada muka dan kolar bajunya. Pada awalnya saya menyangka kotoran itu disebabkan dia bermain dengan rakan sekolahnya," kata Norhimah.

Kecewa dengan kejadian itu dan keengganan guru terbabit mengakui perbuatannya itu, Norhimah membuat laporan polis serta aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Saya hanya mahu dia (guru terbabit) meminta maaf secara terbuka kepada kami sekeluarga," katanya. 

Pihak Jabatan Pendidikan Negeri kini sedang meneliti laporan bagi menjalankan siasatan kes tersebut. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.