'Cikgu Sepak Sampai Saya Terjatuh Atas Tar'


AYER MOLEK - Seorang murid darjah lima mendakwa dia telah dilempang oleh seorang guru SK Ayer Molek, Rabu lalu. 

"Cikgu sepak sampai saya jatuh atas tar. Dia titik bibir saya dengan rotan, sepak kaki saya," kata murid berkenaan.

Kejadian itu hanya diketahui oleh ibu bapa mangsa selepas melihat pipinya merah serta bengkak di bahagian mata, sebaik pulang dari sekolah.

Ekoran kejadian itu, Muhammad Hafiz Saufie, 11, menjadi trauma untuk pergi ke sekolah selain dari mengalami luka di dalam telinga akibat ditampar oleh guru itu. 

Tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit, bapa mangsa datang ke sekolah pada keesokan harinya lalu melempang semula guru lelaki yang berusia 37 tahun itu.

Mangsa yang berusia 11 tahun itu juga mendakwa, guru lelaki itu juga turut memukul rakan-rakannya yang lain menggunakan rotan semasa sesi ujian segak dan kecergasan yang dilakukan di tepi padang sekolah itu, lapor Sinar Harian. 

"Cikgu main rotan-rotan pada semua orang. Jadi saya menjawab, 'apa main rotan orang, orang tak buat apa-apa pun. Tak payahlah rotan'. Saya seorang jawab, lepas itu dia menyepak saya sehingga terjatuh," kata mangsa.

Ibu mangsa, Siti Shazlyna Abdul Azeez, 37, berkata, pihak SK Ayer Molek telah menghalangnya membuat laporan polis. Malah, SK Ayer Molek turut mengatakan bahawa laporan polis yang dibuat oleh guru lelaki itu akan ditarik.

Walau bagaimanapun, Siti tetapi tegas meminta pihak kementerian mengambil tindakan terhadap guru itu yang didakwa pernah meminta duit daripada murid jika gagal menyiapkan tugasan atau mahu ke tandas.

"Saya baru tahu perkara ini, cikgu itu minta RM2 atau RM1. Tak sangka ada cikgu seperti ini. Saya tidak boleh menerima perkara ini dan tidak berpuas hati dengan apa yang cikgu sudah buat," katanya.

Demi keadilan buat anaknya, Siti membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir jam 1 petang semalam. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.