'Dia Sanggup Tinggalkan Saya Demi Betina Muda Itu'


Saya selalu baca kisah-kisah di laman Kisah Rumah Tangga ini. Kebanyakan kisahnya membuatkan kita semua rasa down. Saya nak berkongsi kisah hidup saya pula. Memang ada teladan dan sempadan di sana.

Saya berkahwin di usia 22 tahun, selepas saya kecewa tidak dapat sambung belajar. Saya pelajar cemerlang, tetapi masalah keluarga membuatkan saya terkapai-kapai. Saya mula bekerja pada umur 18 tahun selepas SPM untuk menyara kehidupan sendiri. 

Awal perkahwinan kami, memang bahagia walaupun selalu tergigit lidah. Tetapi selepas tiga tahun, bermacam-macam dugaan yang datang menimpa. Suami saya dilamar oleh seorang pelajar berstatus andartu. Waktu itu, ekonomi kami sangat kritikal. Saya tak bekerja, anak pula sudah dua, suami pula baru mula bekerja. 

Jadi, saya beritahu perempuan itu dengan baik agar jangan menganggu rumahtangga kami. Sebaliknya, saya dimarahi oleh perempuan itu dan paling pedih, suami pula mempertahankan dia. Pedih dan masalah itu selesai selepas saya mengadu kepada ibu perempuan berkenaan. 

Kami teruskan hidup seperti biasa walaupun hati saya sudah retak. Saya maafkan suami saya. 

Kehidupan kami sempit, suami memang mahu saya merasa susah dulu, katanya. Kadang-kadang tempat saya tak ada air dan saya naik turun bukit angkat air untuk mandi, membasuh, masak dan lain-lain. Saya terima semua ini sebab saya isteri. Saya mahu ke syurga. 

Saya pernah memberitahu suami, sama-sama mengubah kehidupan. Saya juga mahu merasa apa yang orang lain rasa walaupun tidak mewah. Tetapi suami akan marah dan kata saya tidak sabar. Jadi saya diam dan redha, saya tak suka dia marah. 

Selalunya, keperluan rumah tidak pernah mencukupi. Sehingga anak yang ketiga, masih juga menggunakan lampin kain. Dan pernah mesin basuh rosak, jadi saya terpaksa basuh lampin itu cepat-cepat dan jemur sekejap sebelum di sterika untuk digunakan semula kerana tiada banyak lampin. 

Saya tetap bahagia, selagi suami masih menyayangi saya. Saya pernah beritahu dia yang saya terima semua kekurangan asalkan dia menghargai kasih sayang saya, sama-sama setia mengharungi suka duka.

Untuk membeli keperluan yang tidak mencukupi, saya berniaga sikit-sikit di rumah. Tetapi duit saya tidak pernah simpan sebab dia nak guna. Kalau dapat RM30, saya bagi dia RM25, RM5 saya simpan untuk beli apa yang patut. 

Ribut datang lagi apabila anak sudah 4 orang. Masa itu saya tumpah darah. Saya sudah menggigil lemah tetapi dia relax sahaja. Saya minta ke klinik, bila masuk ke klinik, dia langsung tidak mahu memimpin saya sedangkan saya rasa macam dah nak mati. Rupa-rupanya dia dah gilakan perempuan muda yang baru habis sekolah. 

Dia sanggup tinggalkan saya sakit di rumah dengan anak-anak kecil kerana mahu menghantar perempuan itu balik ke kampung. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya pada ketika itu. Merintih sendirian menghadap dugaan ini.

Akhirnya pada suatu hari, ketika saya sedang menyusukan anak OKU saya yang baru setahun, dia beritahu yang dia nak berkahwin dengan perempuan itu. Dia mahu saya menerima keputusannya tanpa sebarang bantahan sebab ibu bapa perempuan itu juga amat mengharap.

Allahurabbi, saya sudah tidak mampu nak bercerita. Kalian fahamlah sendiri.

Saya terima walaupun air mata sudah kering. Saya tidak mampu mengadu pada sesiapa. Ibu saya pun tengah sakit, saya terpaksa menelan semua ini bersendirian tanpa kawan, tanpa sesiapa. Saya gagahkan diri mengurus anak-anak kecil yang nakal. Dia tak izinkan saya keluar rumah kerana tidak mahu saya mengadu pada sesiapa. 

Maka bermulalah dunia gelap saya, selalu ditinggalkan tanpa nafkah. Kadang-kadang tiada lauk di rumah. Dia kononnya mahu berlaku adil, tetapi menipu sahaja. Bila saya minta lebihkan perhatian pada anak-anak, dia kata saya mengada-ngada dan saya perlu mengalah sebab saya isteri tua.

Saya banyak menangis, tak tahu apa yang harus saya lakukan. 2 tahun saya merana, makan hati, saya dah seperti bangkai bernyawa. Sehinggalah akhirnya saya jatuh sakit. Teruk juga saya sakit. 

Akhirnya pada suatu hari, seorang sahabat saya berkata, "Kau tidak akan mampu mengubah hati manusia, tetapi kau mampu ubah nasib diri sendiri. Bangunlah! Kau bodoh kalau mahu terus hidup seperti ini!".

Saya tersentak, saya terus sedar. Memang saya bodoh, buat diri terseksa. Sejak dari hari itu, saya kuatkan semangat mencari kerja. Alhamdulillah diterima bekerja sebagai pembantu kedai dan saya dapat menguruskan anak-anak sendirian. 

saya amat berterima kasih kepada jiran yang memahami dan sudi menjaga anak saya tanpa upah. Allah sudah aturkan segala-galanya. 

5 tahun sudah berlalu, saya failkan perceraian kerana dia sudah beberapa tahun tidak memberikan saya nafkah. Rumah sewa pun saya yang bayar dan hampir setahun tak diberi nafkah batin apatah lagi menjenguk saya pun dia malas. Dia memang tidak mahu melepaskan saya, dia mahu gantung tak bertali. 

Alhamdulillah saya minta tolong sahabat saya untuk gunakan khidmat peguam swasta dan kes berjalan lancar. Tetapi saya langsung tidak dapat harta dan nafkah eddah, mutaah dari suami. Cuma saya bersyukur dapat hak penjagaan semua nanak-anak. 

Saya mulakan hidup baru sebagai 'janda'. Saya berdiri demi anak-anak. Segala-galanya saya uruskan sendiri. Allah beri saya rezeki yang luas, saya mampu membina perniagaan sendiri. Saya jaga anak-anak saya, didik mereka elok-elok. Tiada yang lebih membahagiakan kecuali anak-anak soleh solehah. Sejuk hati saya bila anak seawal usia 9 tahun sudah mampu mengimamkan solat dengan bacaan fatihan dan surah yang lancar. Merekalah harta saya dunia akhirat.

Saya tidak suka bersosial, keluar dengan kawan-kawan, lepak-lepak, karaoek lagilah tak pernah sebab saya mahu menjadi contoh yang baik untuk anak-anak. 

Alhamdulillah sampai ada yang dah remaja, anak-anak saya tidak pernah buat masalah dan tidak pernah bercouple seperti budak-budak lain. Mereka cemerlang di sekolah, itulah kebahagiaan saya dan redup hati ini bila setiap tahun anak mendapat anugerah pelajaran di sekolah.

Syukur ya Allah, sekarang dah 10 tahun saya menjanda. Tipulah kalau saya tak sunyi tetapi say belum jumpa lagi lelaki yang sesuai dengan saya dan anak-anak. Selama berstatus single ini, ramai yang mahu berkawan. Dari lelaki bujang, suami orang hinggalah ke duda. Tetapi saya tidak berkenan. Saya pula jenis badan yang tidak gemuk, agak tinggi dan ramai yang kata seperti belum ada anak. 

Maaf, bukan saya nak berbangga diri tetapi untuk mengingatkan bahawa fizikal kita, status kita bukan lesen untuk kita berseronok dengan lelaki. Maruah juga perlu dijaga, agama diletakkan di hadapan. Sudah kerap kali janda-janda yang merosakkan status mereka sendiri. - Kisah Rumah Tangga | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.