Elaun Keraian Menteri, Timbalan Menteri Dipotong 10%


PUTRAJAYA - Elaun Keraian Menteri dan Timbalan Menteri akan dikurangkan sebanyak 10% berkuatkuasa awal Mac 2016. Langkah yang diambil oleh Perbendaharaan Malaysia ini adalah sebahagian dari langkah penjimatan kerajaan menerusi pekeliling 'Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan' di laman web rasminya.

Ini bagi memastikan semua Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Jabatan, Ketua Badan Berkanun, Ketua Eksekutif Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) dan Ketua Agensi lain yang menerima peruntukan dari kerajaan melaksanakan langkah mengoptimumkan perbelanjaan, lapor Berita Harian.

Antara langkah penjimatan yang diumumkan, membekukan pengambilan perjawatan baharu dan hanya membenarkan pengisian bagi menggantikan mereka yang bersara atau berhenti serta tidak membabitkan kewangan tambahan.

Pertambahan jawatan baharu hanya dibenarkan di dalam sektor yang kritikal seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil tetapi dikawal dengan ketat.

"Kekosongan jawatan lebih daripada dua tahun dimansuhkan manakala perlantikan pegawai kontrak baharu tidak dibenarkan, hanya boleh memperbaharui kontrak sedia ada," menurutnya. 

Selain itu, perbelanjaan bagi membayar elaun lebih masa juga akan lebih diperketatkan. Bagi perjalanan ke luar negara, ia hanya dibenarkan bagi urusan yang telah dijadualkan atau diluluskan. 

"Digalakkan untuk mewakilkan urusan di luar negara kepada Duta atau Ketua Perwakilan Malaysia di negara berkenaan.

"Semua acara, majlis, mesyuarat, bengkel dan seminar mesti diadakan di premis kerajaan sahaja dan dikurangkan perbelanjaan sekurang-kurangnya sebanyak 30% berbanding tahun sebelumnya. Semua semua projek yang mempunyai komponen import yang tinggi perlu ditangguhkan dan pemberian geran kepada industri dikaji semula. 

"Kementerian dan Jabatan perlu mengenal pasti bagaimana kaedah meningkatkan hasil masing-masing selain perlu mencari cara lain untuk berjimat. Jika hasil dapat ditingkatkan manakala kos berjaya dikurangkan maka kerajaan akan menimbangkan insentif yang bersesuaian melalui bajet tahunan," kata kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai pekeliling ini, di SINI. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.