'Jangan Menangis Bila Abah Tidur Panjang'


NAK MESEJ ABAH PUN JARANG

Puteri abah sukakan seseorang? Abah okay, tetapi janganlah buat abah sedih. Abah jaga puteri sejak dari kecil. Tetapi kamu sanggup bagi semuanya pada lelaki yang abah pun tak kenal.

Kamu boleh mesej dia setiap hari, tetapi sehari kamu nak mesej abah pun payah. Puteri tak sayangkan abah? Jagalah maruah kamu wahai anakku. Kalau bukan untuk abah, untuk diri kamu sendiri. 

TAK MAMPU BELI KERETA

Puteri abah, kasih sayang abah. Abah ini bukanlah mampu membeli kereta mahal-mahal jika kamu mahukan. Tetapi jika abah mampu, abah akan usahakan. Abah juga tidak mampu membeli handphone beribu harganya buat kamu. Tetapi jika abah masih kuat kudrat, abah akan usahakan juga beli untuk kamu.

Abah sudah tua. Tengoklah tangan abah dah berkedut. Kulit tapak tangan abah juga sudah keras. Tetapi puteri ingatlah, walaupun tangan abah begini, abah akan melindungi puteri. Jika ada lelaki lain yang menganggumu, dengan tangan ini abah akan menumbuknya. Jika barangmu yang ingin dibawa masuk ke hostel itu terlalu berat, dengan tangan ini abah akan mengangkatnya. 

Untuk puteri abah, apalah sangat duit yang abah beri untuk belanja di universiti. Kalau yuran dan bukunya mahal sekalipun, abah tak akan kata apa kerana bagi abah, nilai anak abah yang dianugerahkan Allah itu tidak ternilai harganya kalau nak dibandingkan dengan duit buku yang tebal dengan harga ratusan ringgit.

TERINGIN DENGAR KATA "RINDU ABAH"

Kadang-kadang puteri telefon nombor abah, tetapi nak bercakap dengan mak. Kata rindu sangat dengan mak. Abah tak kisah sebab abah tahu betapa peritnya mak kamu mengandungkan dan melahirkan kamu. Tetapi sesekali, abah teringin juga dengar puteri abah ini kata "Rindu Abah,". Tetapi kalau malu, tak apalah.

Kalau hati puteri abah ini dah rasa rindu pada abah pun sudah cukup. Abah gembira dah. Anak abah, puteri abah, kasih sayang abah, anugerah abah. 

Jaga dirimu anakku, tutuplah auratmu dengan sempurna. Abah dah buat macam-macam untuk kamu. Sanggupkah kamu melihat abah masuk neraka? Walaupun abah sentiasa berusaha gigih supaya kamu dan abah bersama di syurga. Ajal abah entah bila akan sampai. Abah sudah tua, lama sudah abah hidup. Dari kamu tak boleh bercakap, sampailah kamu sudah berlari sana sini masuk dewan kuliah. Entah-entah abah tak sempat tengok kamu kahwin, tak sempat tengok kamu habis belajar pun. 

Tapi cukup bagi abah ada puteri seperti kamu. Cantik, baik, pandai dan sayang abah. Kalau abah tak ada di sebelah kamu pun, tak apalah. Kasih sayang abah pada puteri sampai bila-bila.

JANGAN MENANGIS BILA AYAH TIDUR PANJANG

Abah menangis bila melihat kamu tidur. Menangis sebab terharu dapat melihat kamu memnbesar dengan baik. Tetapi janganlah pula kamu menangis banyak sangat bila abah tidur panjang. Sebab yang pergi ialah abah, bukan kasih sayang abah.  Abah tinggalkan kasih sayang abah pada puteri abah yang manis ini. 

Belajarlah elok-elok, pilih suami elok-elok, jaga diri elok-elok. Banyak lagi sebenarnya abah nak cakap tetapi abah takut, tiba-tiba ajal abah sampai, tak sempat pula nak send pesanan abah ini. Sudahlah ye, abah pergi dulu.

Assalamualaikum wahai puteri abah, kasih sayang abah. Abah sayangkan kamu. Bacalah wahai puteri-puteri sekalian, pasti akan menitis air matamu. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.