'Kenapalah Dia Tak Faham Yang Saya Tak Nak Beli?'


"Saya tidak mahu mek," saya jawab sambil senyum di dalam kereta ketika makcik berdarah patani ini datang mengetuk pintu kereta saya. 

Biasanya memang yang menjual keropok ikan tanpa kedai ini, harganya dua kali ganda dari biasa. Kebanyakan mereka menunggu di stesen petrol, tepi bank, luar pasar raya. Pagi dihantar dengan van, balik di tengah malam pun dijemput dengan van.

Saya dan isteri baru pulang dari Hospital Selayang, cek darah untuk baby kuning. Singgah di Giant Batu Caves untuk membeli barang dapur.

Makcik itu minta buka pintu berkali-kali. Dalam hati saya sudah mengeluh, mengapa dia tidak faham yang saya tidak mahu membelinya. Saya menggelengkan kepada tanda tidak mahu sambil berpura-pura melayan handphone.

"Mokcik nak bagi ini pada anak ini," katanya dari luar pintu sambil menunjukkan beberapa not RM1.00 yang berlipat-lipat ke arah baby yang dipangku oleh isteri saya.

Ya Allah, begitu sekali silap andaian saya kepadanya. Isteri saya membuka pintu menghulurkan tangan bersalam dan menerima hadiah dari orang tua ini.

Sambil dia mengusap kepala si kecil, dia menadah tangan berdoa tanpa suara. Terus dia menjinjing kembali beg plastik yang penuh dengan keropok ikan dan berlalu pergi.

"Abang, kesianlah..." kata isteri saya. 

Terus isteri saya membuka tingkap dan memanggil makcik tadi. 

"Makcik, keropok apa yang ada?"

"Eh?! Mokcik bagi duit itu bukan nak suruh anak beli. Mokcik nak bagi sedekah tu," jawabnya serba salah, bimbang kami salah sangka. 

"Tidak, memang mahu makan keropok ikan parang. Ada tak?" kata isteri saya untuk menghilangkan rasa gelisahnya.

"Terima kasih ya, Alhamdulillah," jawabnya panjang. 

Sekali lagi dia melihat si kecil dan berlalu pergi mencari rezeki yang dijanjikan.

Saya terdiam di dalam kereta. Banyak kelodak dalam jiawa yang perlu dibersihkan. Saya lupa makcik itu juga adalah wanita dan ibu yang mempunyai perasaan sayang dengan anak-anak kecil.

Walaupun duit jualan banyak, margin untungnya pada orang atas, bukan pada makcik ini sendiri. Kita sebagai manusia dan muslim, belikanlah air minuman atau roti sebagai alas perut buat mereka. 

Mungkin juga lamanya dia datang ke bumi Malaysia meninggalkan anak cucu demi mencari rezeki sehingga rindu pada anak kecil tidak tertahan. 

Sekali lagi peringatan buat diri saya, jangan penat untuk memberi. - Muaz Aziz | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.