Mengaku Bersalah Curi Jaket Di AEON


MELAKA - Gara-gara mencuri sehelai jaket di sebuah pasar raya, seorang kerani wanita dijatuhi hukuman berbentuk bon berkelakuan baik selama 2 tahun oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh. 

Tertuduh, Fatimah Salleh, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik, lapor Harian Metro

Fatimah didakwa mencuri sehelai jaket (blazer) berwarna hitam yang berharga RM149 dari AEON Ayer Keroh pada 6.30 petang, 2 Februari lalu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan jika disabitkan bersalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda. 

Bagaimanapun, peguamnya, Ishak Kari merayu agar anak guamnya tidak dijatuhkan hukuman penjara atau denda kerana barang yang dicuri telah pun dikembalikan, nilai barangan, masa depan kerjaya tertuduh serta keinsafan selepas direman sehari.

Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak pula mencadangkan agar hukuman berbentuk langkah pencegahan dikenakan pada tertuduh untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mohd Asri kemudian memerintah Fatimah dikenakan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 173(a) Kanun Tatacara Jenayah tanpa cagaran dua tahun dan diperintah melakukan kerja wajib di bawah pemantauan Jabatan KEbajikan Masyarakat selama 240 jam sepanjang tempoh bon. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.