'Okay Ke Duduk Sarawak? Banyak Hutan, Buaya Bagai'


"Bila kau balik Malaysia?"

Entahlah, sama ada sengaja atau tidak, soalan sedemikian kerap ditanya oleh segelintir rakan bila saya balik ke Kuala Lumpur atau kampung saya di Perak.

Saya pun tak tahu nak menjawab macam mana. Saya rasa ada rakan-rakan saya dari Semenanjung Tanah Melayu yang berkhidmat di Sarawak dan Sabah juga menghadapi situasi seperti ini bila balik ke kampung. Kadang kala, saya sengaja menjawab dengan nada berseloroh.

"Bila kau balik Malaysia?" tanya mereka.

"Semalam aku balik Malaysia. Malaslah duduk di Alaska. Sejuk bebeno. 20 tahun duduk di Alaska, kulit idak juga putih," jawab saya.

Mendengar jawapan saya itu, maka lekas-lekas mereka memperbetulkan soalan tadi. 

"Eh? Maksud aku, bila kau balik ke Semenanjung ni?"

"Ermm, cakaplah Semenanjung. Tak ada Sarawak, tak wujud Malaysia tahu?" balas saya lagi yang membuatkan mereka ketawa terkekeh-kekeh sambil mengajak saya mengeteh. 

"Okay ke duduk Sarawak? Tak nak balik mengajar di sini? Apa kelebihan Sarawak tu? Aku rasa, balak hutan, buaya banyaklah," sambung mereka lagi dengan pelbagai soalan tanpa henti mula menerjah cuping telinga. 

Sambil menghirup teh tarik kedai Kassim di simpang, saya hanya mampu membalas, "Yeop, duduk di Sarawak best. Tak bising macam di sini, sesak. Kalau ikut stail akulah, aku jenis tak suka traffic jam. Sebab itu aku malas masuk Kuching kalau peak hour," sambil mengibas asap vape pelanggan yang duduk di meja sebelah. 

"Ai? Kuching pun jem ke?" rakan saya terkejut dan bagaikan tidak percaya. 

"Eh? Kuching itu kan bandar raya. Kalau dibandingkan dengan Teluk Intan ini, umpama bau kentut saja. Besar Kuching ni lebih besar dari Ipoh," saya cuba memberikan perbandingan padanya. 

"Uihh! Besarlah kalau macam tu," katanya sambil menjuihkan mulut. 

"Aku pernah ke Bintulu. Aku tengok bandar dia punyalah cantik. Bangunan kedai dia macam kapey  persiaran. Tak pernah jumpa design macam tu di Perak ni," sambungnya lagi. 

Saya mula bercerita, tekun wajah rakan-rakan saya mendengar. 

"Kassim! Teh Tarik segeleh lagi!" pinta saya lagi setelah teh yang tadi sudah kering kontang dihirup. 

"Uih, majulah Sarawak ye?" kata kawan saya. 

"Iye, maju. Di bandar-bandar utama, sama seperti di Semenanjung. Malah di Sarawak ini, bandarnya bersih. Bintulu, Miri, Kuching, antara bandar yang bersih. Aku suka Bintulu dan Miri. Walaupun jauh dari Seri Aman, tetapi berbaloi pergi ke sana.

"Cantik, pantai pun elok. Orang Sarawak ini peramah dan baik. Lagi satu, orang Sarawak ini tak suka gaduh-gaduh," jelas saya memberikan penjelasan. 

"Abih tu, dengor kabor ada yang nak bawa Sarawak ni keluor Malaysia. Betui ke?" tanya kawan yang duduk di sebelah kiri. 

"Mana kamu tau?" soal saya semula. 

"Ala, adalah baca di Facebook. Amende namanya, Sarawakian Sarawakian cengitulah bunyinya," jelas rakan saya itu. 

"Oh, Sarawak for Sarawak kan. Ada kumpulan macam itu di Sarawak tetapi aku taklah campur sangat dengan kumpulan macam tu. Cuma perhati saja. 

"Macam ni Sarawak untuk Sarawakian adalah satu aspirasi sebenarnya yang mana Sarawak mahu hak Sarawak dikembalikan untuk kemajuan negara dan rakyatnya. Contohnya hasil minyak yang digali di Sarawak hendaklah digunakan untuk kemakmuran Sarawak. Tak adillah kalau korek di Sarawak, tetapi Kuala Lumpur saja yang maju. 

"Begitu juga tentang beberapa perkara seperti upah dan gaji. Hendaklah sama di antara Sarawak dan Malaya," saya jelaskan. 

"Eh, Malaya, Malaya, kita ini sudah lama merdeka, bukan Malaya dah," besar suara rakan saya di sisi kanan seakan tidak senang dengan nama Malaya. 

"Eh kau ni, kita ini memang Malaya. Walaupun sudah merdeka, tetapi tetap kita ini persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Malaysia hanya tertubuh dengan penyatuan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. 

"Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957. Masa itu, belum wujud lagi Malaysia. Malaysia hanya wujud pada 16 September 1963 selepas penyatuan Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak," jelas saya lagi. 

Barulah mereka faham. "Celaka sungguh!!" tiba-tiba rakan di tengah menepuk meja. Terkejut saya dibuatnya. 

"Ngape yop?" soal saya. 

"Tu! Liverpool kalah 2 - 3 dengan Somton," juih bibirnya menuju ke skrin TV kedai Kassim. 

"Kesian. Sabo le yop," kata saya sambil menghirup sisa teh dan memohon diri untuk balik. - Cikgu Emmet | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.