Perlantikan Tun M Sebagai Penasihat Petronas Ditamatkan


PUTRAJAYA - Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang baru-baru ini membawa kepada penamatan perlantikannya sebagai Penasihat Petronas. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini, Kabinet telah berbincang dan bersetuju menamatkan perlantikan bekas perdana menteri itu sebagai penasihat Petronas. 

"Deklarasi itu bertujuan menjatuhkan Kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan Negara. 


"Kabinet berpendapat oleh kerana Tun Dr Mahathir tidak lagi mendukung Kerajaan yang sedia ada, sewajarnya beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan Kerajaan Malaysia," kata kenyataan itu.

Tun Dr Mahathir telah dilantik sebagai Penasihat Petronas selepas mengumumkan persaraannya sebagai perdana menteri pada tahun 2003. Namun, pada Disember 2013, beliau telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menasihatkan beliau agar terus memegang jawatan sebagai Penasihat Petronas. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.