'Sampai Hati Buat Ibu Menangis...'

GAMBAR HIASAN | GOOGLE IMAGES

Nenek menangis tersedu-sedan dalam bilik sambil ditemani oleh ibu dan makcik. Aku tahu ini bukan kali pertama nenek menangis. Cuma baru kali ini dia menangis di depan orang. Mungkin rasa sakit yang nenek rasa sudah tidak mampu lagi ditahan. 

Walaupun sebelum ini nenek sering melemparkan senyuman, namun air mata nenek jelas menggambarkan betapa luluhnya hati seorang ibu yang kesedihan.

Nenek tidak bekerja, begitu juga dengan atuk. Tetapi nenek buat kerja-kerja kampung yang dia mahir untuk mencari duit tambahan. Tetapi berapalah sangat hasil yang nenek dapat setiap bulan. Cukup-cukup untuk makan sebulan saja rasanya. 

Sudah lama nenek pendamkan semua ini. Nenek ada 10 orang anak, 6 anak perempuan dan 4 anak lelaki. Sejak atuk berhenti kerja, nenek cuma bergantung harap pada wang belanja yang anak-anak hantar setiap bulan. Bukannya nenek tak bekerja langsung, tetapi adalah melakukan kerja-kerja kampung. Faham-faham sajalah orang tua, kudrat mereka berdua apalah sangat. 

Sayangnya setiap bulan, nenek cuma mendapat duit daripada anak perempuan. Semua anak lelaki senyap seribu bahasa tanpa perkhabaran. Bukan saja duit yang tidak tidhulur, dalam sebulan nak bertanya khabar pun belum tentu. Semua sibuk dengan anak isteri sehingga ibu yang sudah penat melahirkan dan membesarkan mereka seolah-olah hilang dari ingatan mereka. 

Lebih parah lagi apabila ada yang tidak tahu malu datang berjumpa dengan nenek nak pinjam duit sebagai pertolongan. Bukan nenek tak mahu beri, nenek pun tak ada duit. Nenek pun tak suka tengok anak dia dilanda kesusahan. Walaupun tiap-tiap bulan tak dengan khabar dan cuma muncul bila perlukan wang, nenek masih sayang pada mereka.

Hingga rumah nenek tidak lagi mereka jenguk, khabar nenek tidak lagi mereka peduli. Mereka cuma turutkan kata isteri yang terlebih-lebih mereka sayangi sehingga ibu mereka sendiri diketepikan.Hati mana yang tidak luluh diperlakukan begini? Anak yang dibelai dan disayangi sudah tidak lagi mempedulikan diri yang sudah semakin tua dimamah usia. 

Sampai satu hari nenek sudah tidak tahan lagi, dia menangis tersedu sedan bercerita tentang semua anak-anak lelakinya yang dia sangat sayangi pada suatu masa dahulu yang kini dia sendiri sudah tidak mengenali mereka lagi. Kata nenek, dia tidak punya anak lelaki lagi. Tentu nenek sudah tidak tahan lagi menanggung kesedihan ini. 

Hai anak, sampainya hatimu melihat ibumu menangis tersedu sedan kerana kamu. Dia sudah berjaya mendidikmu sehingga kamu berjaya, namun setelah kami beristeri, isteri dan anak-anakmu menjadi prioriti, ibumu ditolak ketepi. Benar syurga isterimu itu ada pada kamu seorang lelaki. Namun ingatlah syurga kamu itu ada pada ibumu.

Jaga dia dengan sebaik-baiknya sementara dia masih ada. Tetaplah buat dia tersenyum sebagaimana kau selalu membuatnya tersenyum satu masa dahulu. Pastikanlah kesihatannya sentiasa berada dalam keadaan baik. Ibumu tidak mahu lebih-lebih daripadak amu, cukuplah sekadar kasih sayang dan perhatian sebagai tanda kau peduli. 

Jagalah ibumu, dia sudah terlalu tua dan penat untuk masih lagi menangis kerana kamu. Maka bahagiakanlah dia, buat dia tersenyum dan bahagia. Ibumu itu adalah kunci syurga yang kamu tercari-cari itu. Hargailah dia sementara dia masih ada. 

Jika perginya ibu kamu nanti, maka pergilah satu nikmat tuhan iaitu doa seorang ibu yang tidak tertolak. Janganlah ibumu masih hidup tetapi kamu tidak lagi dia doakan. 

Wahai lelaki, jika kamu belum berkahwin lagi, pilihlah isteri yang akan menghormati ibumu dan faham bahawa ibumu itu prioriti kamu. Wahai suami, macam mana kamu menyayangi isteri dan anak-anakmu, ibumu masih perlu menjadi nombor satu dan kasihilah dia sementara tuhan masih meminjamkan dia untukmu.

Wahai isteri, janganlah halang hubungan antara seorang anak lelaki dan ibunya. Biarlah dia memberikan kasih sayang dan duitnya itu untuk ibu mereka. Syurga kamu itu ada pada suami, tetapi syurga suamimu itu adalah ibunya. 


Tak minta banyak, cuma doakan nenek kuat dan tabah serta dimurahkan rezeki serta semua lelaki di dunia ini mula menghargai, menghormati dan menyayangi ibu masing-masing sebagai prioriti lelaki. Peganglah kunci syurga kamu itu dengan baik, sekali kau terlepas, ia belum tentu kau boleh dapatkan kembali. - Sis Terkilan | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.