'Akhirnya Saya Melahirkan Jasad Yang Tidak Bernyawa'


Titipan terakhir buat anak-anak syurga saya.

Pertama sekali, terima kasih kepada semua yang mendoakan kami. Terima kasih pada semua kakitangan hospital yang telah membantu menguruskan kami dan juga pada keluarga yang membantu dalam menguruskan pengkebumian anak-anak syurga kami. 

Alhamdulillah, selesai sudah urusan jenazah dan pengkebumian anak kembar kami. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Dari tanah kita dijadikan, kepada tanah kita dikembalikan.
Hati ibu mana yang tidak sebak kehilangan dua orang anak sekali gus? Tetapi sebagai ibu, redha itu perlu. Sebagai orang Islam yang waras, kematian itu pasti dan tidak boleh diratapi. Sesungguhnya percaturan Allah itu hebat. 

Post mortem dari O&G telah dibuat. Sudah dua kali lahir anak prem bersama fetal distress + contraction. Jadi, pakar memberitahu ini mungkin sebab rahim saya tidak kuat. Pakar beri cadangan saya berehat lama untuk menguatkan rahim dulu. Bila sudah kuat, barulah bersedia untuk kandungan semula.


Jarak kelahiran anak kembar pertama dan kedua dalam setengah jam. Dan mungkin disebabkan itu, anak kembar kedua lemas dalam perut. Kepala anak kembar pertama dah engaged. Tetapi anak kembar kedua masih belum keluar lagi. 

Bila anak kembar pertama sudah keluar, jalan keluar ditutup oleh uri yang ditarik oleh kembar pertama. Agak susah untuk doktor uruskan. Tambahan saya sudah agak lemah pada ketika itu. Anak kedua masih lagi di dalam perut pun, tiada daya usaha untuk menerannya keluar.

Akhirnya, saya lahirkan jasad yang sudah tidak bernyawa.

Kembar pertama, 12:35 tengah hari - 6 petang.
Kembar kedua, 12:58 tengah hari - 0.
30 Mac 2016
26 minggu.

Anak pertama dipinjamkan selama 6 jam kepada kami. Alhamdulillah sepanjang hidup, inilah 6 jam yang paling bermakna dan berharga. 

Para doktor sudah menjelaskan, organ dalaman bayi tidak lengkap. Lubang telinga pun belum ada lagi. Kalau paksa bayi masuk dalam ventilator dengan segala life machine dan wayar-wayar, akan membuatkannya terseksa dan menyakitkan dia. Sedangkan kita tidak tahu dia masih ada harapan atau kalau bertahan pun, mungkin tidak lama.

Pada jam 6 petang tarikh yang sama, anak pertama pergi mengikuti kembarnya ke taman syurga.

Sebagai ibu yang mengandungkan mereka selama 181 hari, bawa mereka ke hulur hilir, saya dengan rasa kasih sayang melepaskan kedua-duanya dengan hati yang redha. Moga diberikan kekuatan buat saya dan suami, Mia, Cica dan seluruh ahli keluarga di atas kehilangan ini.

InshaAllah, mungkin ada hikmahnya Allah nak mengantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Tunggu kami di sana wahai anak-anak syurga mama. Berbahagialah kamu di sana. Allah tempatkan kamu berdua di tempatNya yang terbaik. Selamat malam sayang-sayangku. - Anna Zainal | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.