'Aku Malu Ada Abah Kerja Kutip Sampah Macam Kau!'


Hari ini, genap setahun abah tinggalkan kami sekeluarga. Abah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Semasa abah masih hidup, aku tidak pernah menghargainya. Kesalahan yang telah aku lakukan, tak pasti sama ada abah boleh maafkan aku atau tidak. Aku menyesal sangat-sangat.

Abah aku seorang pekerja lori sampah. Kadang-kadang driver lori sampah, kadang-kadang dia buat kerja kutip sampah. Entahlah, aku pun tak tahu sangat sebab tak ambil peduli tentang abah. 

Yang aku tahu, dulu aku malu sangat ada ayah seperti abah aku. Dari kecil sampai dewasa, aku masuk sekolah semua kawan-kawan ejek aku, panggil aku anak lori sampah. Masa sekolah rendah memang sedih gila bila dipanggil seperti itu. Sehinggalah masuk ke sekolah menengah, hati dan perasaan dah okay sikit, mungkin sudah terbiasa. 

Keluarga aku bukan orang senang. Adik beradik pula ramai, aku pula anak sulung. Mak ada penyakit, penyakit lembab dan lemban. Tak tahulah itu penyakit ke tak? Kira slowlah mak aku, sampai orang nak salam pun kena hulur tangan baru dia sambut salam. Yang aku nampak di sini, adik nombor tiga pun kena penyakit lemban mak. Tetapi aku pula boleh dikatakan agar pandai dalam akademik.

Dengan abah seorang sahaja yang bekerja dengan gaji tak seberapa, ditambah pula keadaan mak seperti itu, memang tak cukuplah nak tanggung kami adik beradik. Paling sadis bila mula sekolah, sebab banyak benda yang perlu dibayar. 

Sekolah pula asyik menekan, wajib beli itu ini. Sikit-sikit minta duit buku, padahal tak guna pun buku. Baju sukan dengan baju rumah sukan pun nak asingkan. Tahun baru bila buka sekolah saja, seronok tengok kawan-kawan pakai baju baru, kasut baru putih bersih, beg baru. 
Tetapi aku? Baju 3 tahun lepas dah kuning lusun pun tak tukar. Sebab aku yang kena mengalah dengan adik-beradik yang lain. Kasut aku yang koyak rabak pun tunggu masa nak mereput. Mana taknya, orang lain bersukan, aku pun sibuk turut serta. Kasut itulah buat bersukan, buat sekolah, buat berlari. 

Tetapi aku tak marah dan tak pernah tunjuk pada mak abah yang aku sedih. Aku diamkan diri saja. Sudahlah susah, aku cakaplah dengan mereka yang aku nak mencari kerja. Dapat upah nanti, boleh bayar yuran sekolah tahun lepas yang masih belum selesai dibayar. Tetapi abah tak bagi, konon takut ganggu pelajaran aku yang tahun itu bakal menghadapi SPM. Dah habis bertekak, abah bagi aku kerja di kedai makan di depan rumah sahaja. Aku redha, dapatlah kerja cuci pinggan di belakang.

Kedai Mak Esah, perangai macam... dia buat aku betul-betul macam kuli. Mulutnya macam itik, rasa nak kunyah telinga dia. PEnatlah juga, pagi sekolah petang sampai malam kerja. Bila upah dah cukup untuk bayar yuran, aku pun berhenti. Penat sangat-sangat. 

Di waktu SPM inilah aku struggle betul-betul. Siang malam aku belajar sebab aku fikir nak tolong keluarga yang susah ini. Antara sebab aku study gila-gila, sebab aku benci abah aku. Makin aku benci, makin gila aku study sebab dia tidak mampu berikan kemewahan sama seperti kawan-kawan aku yang lain. Aku nak belajar pandai-pandai, nak dapat kerja yang best, nak beli apa yang abah tak mampu berikan.

Makin bertambah-tambah benci pada abah bila aku nak beli motosikal, dia tak izinkan. Aku tahu dia tidak mampu tetapi akal remaja ini memberontak. Abah buat tak tahu saja. Tak mengapa, aku sabar lagi. Redha saja jalan kaki pergi kerja.

Hari yang paling happy bila keputusan SPM dikeluarkan sebab aku nak tamatkan hidup susah ini. Aku dapat 6A, 4B. Beria aku memohon UPU, tetapi sangkaan aku meleset. Dan-dan itu juga mak aku sakit, kena kencing manis. Macam mana aku nak masuk universiti? Siapa nak tanggung aku? Yang abah terkuis-kuis, nak bayar bil hospital pun tak mampu, lagi nak tanggung pengajian aku? Mimpilah!

Selepas jadi begitu, aku buat keputusan tak jadi nak sambung belajar. Benci pada mak dan abah semakin menggunung sebab aku rasa masa depan aku gelap kerana mereka. Tetapi aku diamkan saja, sabar dan bersabar. Kertas tawaran aku simpan elok-elok dalam laci meja, buat kenangan. Mungkin juga untuk dimakan oleh anai-anai. 

Tengok kawan-kawan seronok sambung belajar, sibuk sediakan itu ini. Aku? Jadi kuli dalam kilang. Kerja namatey macam lembu. Kilang tempat kerja aku ini, gaji best tetapi bosnya macam haram. Ada hari baik benar, bila datang angin, gila babi. Semut lalu depan dia pun dia maki. Dengan orang, jangan cakaplah. Habis disumpah seranahnya. Time mood dia baik, dia belanja kitorang makan KFC. Entah, pelik aku dengan perangai dia.

Suatu hari, aku kena marah kaw-kaw dengan boss. Rasa nak kunyah-kunyah dua telinganya. Sebelum itu, aku ada beli selipar, bukan selipar jepun, selipar yang mahal sikit, limited edition punya. Balik rumah, aku tengok selipar kesayangan sudah terputus. Mak aku yang putuskan. Naik hantulah aku masa itu. Memang sampai situ, aku sudah tidak boleh mengawal amarah, aku hempas selipar itu di depan muka mak yang blur. Aku hambur semua. Bukan sebab selipar, tetapi sebab dari kecil sampai besar bagi aku mereka tidak pernah menyenangkan aku. Sudahlah pilih kasih, lebih-lebihkan adik-adik. Habis aku ini apa?? Aku hidup untuk apa? Kenapa kehidupan aku tak sama seperti orang lain? 

Dan-dan itu jugalah abah balik. Abah pula marah-marah aku. Aku bidas balik. 

"Sampai bila aku nak macam ni? Sampai mati aku nak hidup susah?! Aku malu ada abah macam kau!" tiga kali aku ulang kata-kata terakhir itu. 

Itulah pertama kali aku melihat air mata abah menitis. Abah menangis sebab aku. Tetapi aku tidak peduli sebab dah lama aku pendam, lama sangat. Aku dah penat mengalah, aku dah penat nak redha. Dari kecil sampai masuk sekolah, sampai dah dewasa, semua aku ungkit. Apa yang ada di depan mata, semua aku hempas. Tertekan sangat. 

Memang aku ini tidak layak untuk bahagia ke? Benci dari dulu yang aku simpan, aku lepaskan. Abah diam, dia hanya menangis memandang aku. 

Sejak dari itu, aku tengok abah selalu sakit-sakit tetapi aku buat tak tahu. Sakit sampai melarat. Abah macam kena penyakit lelah. Sampai satu tahap, abah dah tak larat. Bawa ke hospital, sampai 3 botol air dimasukkan ke dalam badan. Esoknya, belakang abah kena tebuk sebab paru-paru masuk air. 

Abah meninggal sebab paru-paru berair. Mungkin air dari botol itu agaknya. Masa itu jugalah aku baru nak terhegeh-hegeh nak minta maaf. Kalau perlu melutut, aku sanggup. Aku tahu, apa yang aku cakap tempoh hari masih terkesan di hati abah. Aku yang jaga abah di saat-saat akhirnya. Dia genggam tangan aku.

"Abah minta maaf sebab tak mampu nak bagi kemewahan pada kamu nak. Abah minta maaf sebab abah, kamu hidup susah. Abah minta maaf sebab buat kamu malu ada ayah macam abah. 

"Abah minta maaf kamu tak dapat sambung belajar disebabkan abah. Abah minta maaf sebab hidup keluarga kita tidak sama seperti keluarga yang lain," katanya.

Kali kedua aku melihat abah menangis. Tanpa sedar air mata aku mengalir deras membasahi pipi. 

"Abah, saya minta maaf,"

"Anak abah, tak pernah buat salah. Abah dah lama maafkan kau," katanya sambil tersenyum dan mengusap kepalaku. 

Aku terus peluk abah sekuat hati seperti tahu abah akan meninggalkan aku buat selama-lamanya. 

Sekarang, tanggungjawab abah jatuh ke bahu aku. Kerja kilang pun kerja kilanglah. Boss yang gila itu pun sudah tiada, tak tahu dicampak entah ke mana. Aku telah dinaikkan pangkat. Hari-hari aku berdoa pada abah, setiap kali juga aku doakan agar Allah ampunkan aku dan abah ampunkan aku. Aku tak nak ulang kesilapan dulu. Aku tak mahu kehilangan mak, adik-adik yang lain. Cukuplah mana termampu aku buat, aku bagi. Bukan salah aku kalau dilahirkan dalam keluarga yang susah. Tetapi salah aku kalau mati sebab hidup susah. 

Aku tahu aku salah, jangan hina aku, nanti aku akan menangis lagi. Aku cuma nak beri pengajaran. Sekarang, ramai yang tak bersyukur. Mungkin juga iktibar kepada yang lain. Hargai orang tua kita yang masih ada. - ZK | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.