Al-fatihah, Mr. Os Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR - Pelakon dan pelawak popular, Mr. Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof bin Abdul Hamid, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2.15 petang tadi selepas solat Jumaat di Hospital Selayang.

Mr. Os yang pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik sebanyak dua kali pada FFM, meninggal dunia pada usia 55 tahun.

Pemergian pelawak itu disahkan sendiri oleh anaknya, Haryatie Mohd Yusof, menerusi status di laman Facebook.

"Allah, Allah, Allah. Perginya seorang seniman Mohd Yusof bin Abdul Hamid @ Mr. Os buat selama-lamanya. Allah beri hari yang terbaik, waktu yang terbaik di usianya 65 tahun.

"Kau ampunkan segala dosa-dosanya, kau tempatkan abah di kalangan orang-orang yang beriman. Kita jumpa di sana abah. Abah pergi dengan tenang dan berwudhuk selepas solat tadi. Kami semua sayangkan abah," katanya.

Lapor mStar Online, Mr. Os meninggal kerana kanser paru-paru.

"Ayah sakit teruk sejak Isnin lalu dan dirawat di Hospital Selayang. Namun, pada ketika itu dia masih mampu bercakap sehinggalah pagi tadi kelihatan lemah dan hanya boleh angguk dan geleng kepala sahaja," kata anak lelakinya, Mohd Hafizul Mohd Yusof, 20.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia juga sempat berpesan agar anak-anaknya sentiasa ingat pada Allah dan menutup aurat.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata, petang ini.

Pada tahun 1997 selepas menyepi dari bidang hiburan, beliau bekerja sebagai seorang pengusaha perkhidmatan teksi.

Pada tahun 2011, MR. Os dan Abon yang membentuk kumpulan Osbon, telah menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega, menjadikan pencapaian terbaik bagi beliau selain dari memenangi wang tunai sebanyak RM350,000. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.