'Apa Ni Bang!? Kenapa Buat Burger Si Anjing² Itu Punya Dulu?!'


Aku melabuhkan punggung di atas batas batu di kaki lima 7 Eleven. Street food paling sedap kalau dinikmati di tempat ia disediakan, iaitu di tepi jalan. Kalau makan di tengah jalan, itu namanya gonjol. 

Sewaktu aku mengeluarkan bekas polisterin yang tertulis 'DDS' daripada plastik, kelihatan sebuah kereta polis peronda menghampiri gerai burger di mana aku beli burger daging double special ini tadi.

"Alamak! Awal pula hari ini. Selalu jam 10 malam baru sampai. Tak siap lagi ni," ujar si peniaga burger.

"Okay, kami pergi ronda dulu. Sebentar lagi kami datang balik," kata salah seorang anggota polis dalam kereta peronda tersebut sebelum beredar.

"Regular customer kot," kataku dalam hati. 

Macam lipas kudung peniaga burger itu menyiapkan tempahan polis peronda tadi. 2 burger daging, 2 burger ayam. Aku perasan dia sapu mentega lebih banyak dari biasa. Tomato 2 potong, sayur berimbun, senang cerita segala ramuannya lebih banyak dari biasa.

5 minit kemudian, kereta polis peronda itu kembali. 

"Nah! Kirim salah pada mereka semua," kata peniaga burger itu sambil menghulurkan burger ke tingkap kereta peronda yang terbuka luas. 

Setelah kereta peronda itu beredar, peniaga itu menyambung semula kerjanya, menyiapkan tempahan para pembeli yang sudah lama menunggu. 

"Apa ni bang?! Kenapa buat si anjing-anjing itu punya dulu? Abang siap buat diorang punya semua lebih. Dahlah diorang tak bayar!" kata seorang pelanggan yang dari tadi menunggu di atas motosikalnya, meluahkan rasa tidak puas hati. 

"Itulah pasal, jangan bagi muka sangat," tambah rakannya yang membonceng di belakang. 

"Korang pun nak macam diorang punya juga ke? Boleh, aku belanja. Tak payah marah-marah," balas si peniaga. 

"Eh, tak payah bang. Kitorang bukan kaki pow macam diorang," 

"Diorang bukan pow aku. Diorang tolong aku je," jelas peniaga itu.

"Kalau bukan pow, tadi itu apa? Bayaran perlindungan?" soal mereka dalam masa yang sama cuba menuduh. 

"MashaAllah! Apa yang korang merepek ni? Burger tadi tu bukan untuk diorang. Untuk isteri aku yang sakit, yang berada di hospital. Di rumah tak ada orang masak, jadi, beberapa hari ini aku minta tolong polis-polis itu hantarkan makanan pada anak-anak aku yang berada di rumah," katanya.

Raut wajah dua pelanggannya itu tadi terus berubah. Kalau aku jadi mereka, aku tak tunggu burger aku siap, aku bayar dan terus naik motosikal, balik rumah dan cebur muka dalam mangkuk tandas. Lepas itu, flush!

Lain kali, jangan main serkap jarang, jangan tuduh melulu. Apa yang kita nampak, mungkin hanya sebahagian daripada apa yang berlaku. Jadi, usah terlalu pantas membuat kesimpulan terutamanya jika ia melibatkan perkara-perkara yang buruk.

Anggota-anggota polis itu tadi menjalankan tugas mereka dengan baik, menghulur bantuan kepada komuniti tetapi dituduh tidak berintegriti kerana memeras ugut. Malah digelar pula sebagai anjing. Bukan semua anggota PDRM itu Unit K9 tahu!

Tak apa abang-abang polis, selagi korang 'Tegas, Adil dan Berhemah', aku dan rakyat Malaysia akan mendoakan korang sentiasa dirahmati Allah. 

Drama dah habis, aku pun bangkit dari tempat duduk. Terkejut aku tengok burger DDS aku tadi dah bertukar menjadi popcorn. Bila masa aku beli bertih jagung? Tuhan saja yang tahu. - Kamarul Ariffin Nor Sadan | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.