Cedera Kerusi Ikea Patah, Guru Dapat Pampasan RM650,000


PERTH - Seorang guru yang cedera serius selepas kerusi Ikea yang didudukinya patah menerima pampasan hampir A$220,000 (RM650,000). 

Difahamkan, Jane Pisan, guru di sebuah sekolah di Australia Barat sebelum kejadian itu sedang mengiringi pelajar Northam Middle High School ke pusat rekreasi bandar itu pada Jun 2013. 

Jane Pisan duduk di sebuah kerusi model Ikea, 'Martin', yang berharga A$35 (RM104) tiba-tiba patah lalu menyebabkan beliau terjatuh sehingga menyebabkan lututnya mengalami kecederaan teruk.

Mahkamah Australia Barat mendapati, kerusi keluaran Ikea itu, satu daripada 270 unit yang dibeli oleh pusat rekreasi tersebut, tidak direka dengan baik untuk lantai yang digilap. 

Hakim Philip McCann berhujah, kemalangan itu sepatutnya boleh dielakkan kerana kerusi itu adalah unit ke 12 yang patah di situ sejak dibeli pada tahun 2011. 

Susulan itu, hakim mengarahkan pihak berkuasa Northam membayar ganti rugi kepada Jane Pisan melalui menteri pendidikan sebanyak A$218,213.74 (RM648,386.57). - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.