'Di Hadapan Perempuan Itu, Dia Lafaz Cerai Pada Aku'


Penceraian, ianya sebuah mimpi ngeri pada yang bergelar isteri. Aku diceraikan ketika anak kedua baru berusia 12 minggu. Saat aku dilepaskan di dalam kereta, saat aku dilepaskan sekali lagi dalam mahkamah.

Pada masa itu, aku nekad dalam hidup aku perlu bangkit untuk kehidupan aku sendiri. Dengan megahnya bekas suami bawa perempuan itu ke mahkamah ketika dia melafazkan cerai ke atas aku. 

Ah! Pedulikan. Mereka selayaknya bersama sebab dari spesis yang sama. Tidak layak untuk dibandingkan dengan aku. 


Pada ketika itu, aku tidak bekerja. Aku berhenti kerana mencari redha illahi untuk lebihkan masa bersama suami. Rupanya bukan suami tetapi syaitan. 

Aku disihirnya, makanan aku di rumah dimasukkan serbuk tulang anjing bagi memastikan aku menuruti kata-kata seperti sifat seekor anjing. Makanan dan minuman yang aku masak tidak pernah dijamah. Rupa-rupanya... tak mengapa, Allah ada.

Pada saat aku keluar dari rumah itu atas nasihat pejabat agama, dia tukarkan kunci, benarkan orang luar masuk dan guna barang-barang peribadi aku. Bila aku minta kebenaran untuk ambil barang-barang yang masih ada, dia humbankan barang aku dan anak di luar rumah. Dengan linangan air mata, aku kutip dan kumpul barang-barang aku.

Barang-barang rumah yang aku beli hasil duit titik peluh semasa bujang dulu juga dirampas. Hanya baju aku dan anak-anak dibuang ke luar rumah. Aku merayu untuk masuk ke dalam rumah kerana ada barang yang sangat berharga iaitu sijil ijazah aku. Aku sempat sorokkan sijil itu. Jika tidak, pasti dibakarnya. 

Sebaik dari itu, dengan tiada pekerjaan, aku membantu mencuci pinggan di kantin sekolah. Kereta sudah tiga bulan tidak berbayar. Bila dipanggil interview, aku berterus terang yang aku mengandung menyebabkan tiada majikan yang mahu menerima aku bekerja. 

Tetapi janji Allah itu pasti. Pada usia kandungan mencecah 5 bulan, bekas majikan rekemenkan aku ke sebuah kilang. Aku dapat kerja dan bermula dari situ aku tidak menoleh ke belakang lagi. 

Kerja yang bagus, jawatan yang sama seperti jawatan terakhir aku. Aku dapat majikan yang sangat-sangat bagus. Mula sebagai pekerja kontrak, tetapi lagi dua hari nak bersalin, aku diserap sebagai pekerja tetap dan menerima elaun bersalin. 

Dek kerana masih tidak cukup duit, pada tempoh berpantang selepas sebulan dan rasa sudah kuat, aku terus pergi kerja dengan masih memakai stokin. Siapa tahu kesusahan aku? 

Allah menguji aku sekali lagi. Anak yang dilahirkan ini dalam keadaan kaki bengkok kedua-dua belah dan mungkin akan berjalan dalam keadaan yang tidak normal. Aku berdoa, moga Allah membantu aku dan memang Allah tolong aku dari mula aku nak melahirkannya. 

Bleeding tetapi masih gagah siapkan kerja di office. Drive pergi beli makanan di McDonalds sebab masih teringin pada masa itu. Kemudian drive ke hospital sendiri. Parking, bawa beg, daftar dan terus ke wad tanpa sesiapa. Allah permudahkan proses bersalin. Senang, jahit pun tak banyak.

Hari ketiga, untuk periksa bayi, aku dah boleh drive sendiri ke klinik. Alhamdulillah, anak aku berjalan normal, tiada nampak cacat celanya. Alhamdulillah aku kini lebih bahagia walaupun diuji dengan kasih sayang. Aku cuba yang terbaik untuk anak-anak aku. 

Untuk orang itu, terima kasih kerana meminjamkan bintinya untuk anak-anak aku. itu sahaja. Nafkah untuk anak-anak, nanti kau jawab di sana. Aku tidak mahu tahu. Gaji aku cukup untuk mereka berdua. Allah ada untuk kami.

Untuk berkahwin semula? Takut dan trauma masih tak habis lagi. Susah nak jumpa lelaki yang baik pada zaman ini. Rata-ratanya semua tak ikhlas. Sudah 4 tahun berlalu, kini baru terbuka hati tetapi aku agak paranoid dengan sebuah perkahwinan. - KRT | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.