'Itulah Kali Terakhir Saya Bercakap Dengan Suami...'


Saya nak bagi nasihat dan teladan bagi isteri di luar sana agar menghargai dan menghormati suami anda. Sekarang dah jadi seperti trend. Bila tercetus saja pergaduhan, terus isteri nak minta cerai atau suami ceraikan isteri. Tak boleh ke diperbaiki hubungan itu? 

Ini kisah saya 12 tahun yang lalu. Saya isteri yang bahagia ada suami penyayang dan anak yang comel berusia 6 bulan. Usia perkahwinan 2 tahun, kami tidak pernah bergaduh. Usia saya pada ketika itu 21 tahun. Manakala suami pula 31 tahun. 

Pada satu pagi, kami hantar anak ke rumah keluarga saya sebab ibu bapa saya nak cucu mereka bermalam di rumah. Malam itu kami suami isteri balik ke rumah kami sendiri. Masa nak balik, suami saya pelik. Dia merenung lama ke arah anak kami sambil sedih. Saya berkata pada dia yang saya nak bawa balik saja anak kami bersama. Dia cakap tak mengapa. 

Dalam perjalanan balik, suami tiba-tiba cakap,

"Kalau ada sesuatu yang berlaku pada abang, abang nak parents ayang jaga anak kita. Kalau ayang jumpa pengganti saya kelak, sayangi dan setialah seperti mana saya setia dan sayang pada ayang," katanya.

Masa itu saya terfikir yang dia mahu tinggalkan saya kerana ada perempuan lain. Saya apa lagi? Terus merajuk. Sampai rumah, tak nak bercakap dengan dia. 

Sebelum tidur, dia meminta saya membancuhkan milo. Tetapi pelik sebab dia tak suka milo. Bila tidur, saya palingkan muka dan tak nak tengok muka dia.

(Ya Allah, sedih bila teringat saat ini...)

Suami panggil dan bertanya, "Ayang marah lagi ke? Peluklah abang," pintanya. 

Saya pusing dan peluk sekejap dan cium pipi dia. 

"Okay, saya nak tidur," lalu terus berpaling membelakanginya. 

Rupa-rupanya itulah kali terakhir saya bercakap dengan dia. Jam 2 pagi, dia seperti sesak nafas. Saya kejutkan dia dan minta maaf sambil mencium kaki dia. Saya menangis melihat keadaan suami saya seperti itu. Dia tengok saya dalam keadaan sedih dan menutup mata. Masa itu saya terlihat air mata menitis keluar dari matanya. Terus panggil jiran tolong hantar ke hospital. 

Saya dan keluarga tunggu di hospital, siap bawa anak kami. Sampai di Bahagian Kecemasan, saya bawa anak kami dan suruh dia kucup bapa dia dan cakap, "Abang, ini anak kita,". Anak saya tak menangis tetapi dia pegang wajah bapa dia.

Doktor datang buat pemeriksaan pada suami. Kemudian doktor panggil dan kata,

"Puan, suami puan dah tak ada. Dia meninggal semasa sampai sini. Kami minta maaf puan," kata doktor.

Ya Allah! Seperti ada tikaman di dada ini. Pedih dan berat, saya tak dapat menahan diri ini dari menangis. Saya rasa ini semua seperti mimpi, terus pergi ke arah arwah suami yang saya sayangi terbaring kaku. Ahli keluarga yang lain juga terkejut dan menangis di situ. 

Saya pegang kaki dan mencium dahi arwah. Semua cakap jangan biarkan air mata terkena pada arwah. Saya tahan air mata dan cium serta memeluknya. Teringat sebelum tidur, arwah meminta saya memeluknya sebab kami sudah dua tahun berkahwin, memang terbiasa tidur di atas lengan dia. 

Keluar dari bilik kecemasan, saya menangis tak berhenti-henti. Saya masih berharap ini semua adalah mimpi. Saya cubit tangan sekuat hati. Sakit! Ternyata bukan mimpi. 

Saya menyesal sangat, menyesal kerana merajuk dengan arwah dan tidak tidur memeluknya seperti biasa. Saya peluk dan cium anak kami. Masa itu jugalah kali pertama saya melihat ayah menangis melihat saya dan cucunya. Ayah mana yang sanggup melihat anaknya menjadi balu dan cucunya tidak mempunyai ayah. 

13 tahun sudah berlalu, namun kesakitan dan kepedihan itu masih terasa. Buat isteri di luar sana, sayangilah suami kamu selagi dia masih ada. Jangan dia sudah dijemput Allah, barulah kita nak menyesal bagai. - KRT | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.