'Kalau Berpisah Esok, Sekurang²nya Abang Ingat Kebaikan Saya...'


Saya banyak membaca luahan rasa isteri, tunang, bakal isteri yang kadang-kala membuatkan saya tersenyum sendiri. Adik-adik, saya sudah berkahwin lebih 20 tahun. Pahit getir, tersungkur, tertiarap itu semua sudah saya lalui.

Hidup berumah tangga bukan seindah impian. Satu ketika dulu saya pernah dicurangi suami. Hancur hati saya hanya Allah yang tahu. Namun saya tidak mengamuk, tak histeria. Sebaliknya saya muhasabah diri dan tetap melayan suami dengan baik sehingga dia tertanya-tanya mengapa saya baik pada dia. 

"Sekurang-kurangnya andai kita berpisah esok, abang akan ingat kebaikan saya dan bukan kejahatan saya," jawab saya pada soalannya. 

Tiga tahun saya menangis dalam senyuman. Namun saya tekad untuk memperbaiki diri. Saya selalu kata pada diri sendiri, kalau orang tak sayang saya lebih baik saya sayang diri saya sendiri. Saya make over diri saya, saya sambung belajar untuk melupakan kesedihan. 

Pada saya, andai satu hari nanti suami memilih perempuan itu dan saya harus mengundur diri, saya mahu berundur dengan amat bergaya. Saya tidak secantik dan sekaya perempuan itu. Tetapi saya berilmu dan ada jawatan tetap dan bergaji tinggi. Itu azam saya. 

Saya ibarat berdendam dalam diam. Allah Maha Kaya dan Pengasih, setiap kali selepas solat saya baca yasin dan berdoa.

"Ya Allah, ya Tuhanku, andai ini takdirku, kuatkanlah imanku dan tabahkanlah hatiku menghadapi ujianMu. Andai ada belas ehsanmu, pisahkanlah mereka ibarat engkau pisahkan antara langit dan bumit, antara syurga dan neraka. Namun andai mereka berjodoh, berikanlah aku kekuatan untuk pergi dari hidup mereka,"

Allah mendengar rintihan hati saya. Akhirnya suami bagaikan tersedar dari mimpi yang indah. Menangis memohon kemaafan lalu membaw asaya dan anak-anak berpindah agar jauh dari perempuan itu. Sehingga kini, Alhamdulillah suami sangat menyayangi saya dan anak-anak. 

Pesan saya untuk adik-adik yang dicurangi suami, bertabahlah dan sayangilah diri kita. Tak perlu biarkan kita hanyut oleh kesedihan dan kegagalan. Bangkit dan tunjukkan siapa diri kita yang sebenar. Lepaskan mereka yang menyakiti kita. Ingatlah, andai ia milik kita, dia tetap akan kembali pada kita. Namun, andai dia bukan milik kita, terimalah dengan redha dan senyumlah kerana cahaya tetap ada di hujung kegelapan. - KRT | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.