Kerajaan Utamakan Capaian Internet Yang Lebih Luas, Bukan Laju


KUALA LUMPUR - Parlimen dimaklumkan hari ini bahawa kerajaan akan memberikan keutamaan kepada liputan internet yang lebih luas berbanding kelajuan perkhidmatan itu di seluruh negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

"Pada masa ini, Kerajaan Malaysia lebih mengutamakan penyediaan capaian kepada sebanyak kawasan yang mungkin di seluruh negeri berbanding dengan beberapa negara Asean yang lain telah menumpukan kepada kelajuan internet berbanding jumlah kawasan yang telah diberikan liputan perkhidmatan tersebut. 

"Oleh itu, purata kelajuan internet bagi Malaysia yang dilaporkan agak rendah berbanding dengan beberapa negara Asean lain di mana keutamaan dan keperluan yang diukur untuk perbekalan perkhidmatan jalur lebar adalah berbeza antara satu sama lain," katanya dalam jawapan secara bertulis di Parlimen.

Datuk Seri Salleh Said Keruak mengulas pertanyaan Izani Hussin (Pas - Pengkalan Chepa) mengenai kelajuan internet yang biasa di negara ini berbanding dengan rakan-rakan Asean. 

Dalam pertanyaan itu, Izani juga menyatakan bahawa, Malaysia mengenakan caj perkhidmatan internet yang agak mahal kepada pengguna. 

Berdasarkan laporan tahun 2015 yang diterbitkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa pada indeks kemajuan ICT, Malaysia meningkat dari tempat ke-71 pada tahun 2013 kepada ke-64 dari 167 negara pada tahun berikutnya. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.