'Leceh Betullah Taska Ni, Minta Surat Pengesahan Vaksin Anak Pula'


Beberapa minggu yang lalu ketika saya bertugas di klinik, saya menerima sepasang ibu bapa kepada dua orang anak. Seorang adalah bayi berusia 3 bulan, manakala abangnya adalah kanak-kanak berusia 2 tahun.

Ibu bapa tersebut datang untuk mendapatkan pengesahan pegawai perubatan bahawa anak mereka divaksin. Pengesahan tersebut diperlukan untuk mereka mendaftarkan anak-anak mereka ke sebuah taska berhampiran.

"Mula tahun ini saja doktor, kena isi borang ini. Tahun lepas semasa daftar anak sulung, tak ada pun!" kata si ibu. 

Saya hanya tersenyum kerana saya tahu, taska tersebut pernah terlibat dalam sebuah kes penyebaran measles pada tahun lalu. Kita pernah melakukan siasatan dan mendapati ada seorang pelajar taska, ibunya anti vaksin. Pelajar tersebut mendapat measles dan menjangkiti seorang bayi berusia 8 bulan (belum divaksin MMR) yang dihantar ke taska yang sama. 

Susulan dari siasatan tersebut, kita ada menghantar maklumbalas ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan taska itu sendiri untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kes tersebut tidak berulang kembali. 

Alhamdulillah, saya bersyukur apabila ibu bapa tersebut membawa borang pengesahan vaksin yang diperlukan taska berkenaan. Maksudnya, taska tersebut benar-benar komited memastikan anak-anak asuhannya selamat, agar kes berkenaan tidak berulang kembali. 

Saya, lantas meneruskan pengesahan vaksinasi kedua-dua anak pasangan berkenaan. 

"Boleh saya minta buku rekod kanak-kanak?" pinta saya dari ibu mereka. 

Alhamdulillah si ibu memberikan buku rekod kedua-dua anaknya. Saya menyemak bahagian imunisasi adalah lengkap dan up to date. Setiap ruangan ditandatangani dan dilengkapi dengan butiran vaksin (no. batch).

Setelah itu, saya memeriksa sendiri kedua-dua anaknya. Tentu sekali saya mencari parut BCG sebagai pengesahan fizikal bahawa anak-anaknya telah divaksin.

Setelah berpuas hati, barulah saya menandatangani borang pengesahan vaksin tersebut.

"Alhamdulillah, terima kasih puan kerana bertanggungjawab memvaksin anak puan. Bila anak puan divaksin, puan bukan hanya melindungi anak puan, tetapi juga anak-anak orang lain. 

"Sebagai pegawai perubatan yang sudah beberapa kali jumpa kes penyakit berjangkit seperti measles, saya tahu betapa sengsaranya penyakit ini. Di atas sebab itu, bagi pihak ibu bapa lain yang anak mereka sihat, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada puan!" ujar saya. 

Saya bertukar salam dengan bapa kanak-kanak tersebut. Alhamdulillah dalam dunia yang penuh kekeliruan dan tipudaya, ibu bapa ini memilih untuk mempercayai orang yang ahli serta membuat pilihan yang tepat demi keselamatan masyarakat dan orang lain. 

Semoga Allah merahmati ibu bapa ini dan memelihara zuriat mereka. 

TAKE HOME MESSAGE

1. Semakin banyak taska yang mewajibkan anak-anak asuhan divaksin sebelum didaftar. Pilihlah taska yang menggenakan syarat tersebut kerana inshaAllah taska ini berikhtiar mengelakkan pusat asuhan mereka menjadi asbab penyebaran penyakit berjangkit.

Jika ada taska yang masih belum menggenakan syarat ini, anda berhak menolak dari menghantar anak anda ke sana. Bahkan, anda berhak untuk tahu/bertanya jika ada dalam kalangan anak-anak asuhan taska yang tidak divaksin. 

Jika pengusaha taska tidak memaklumkan kepada anda terjadinya penyebaran penyakit berjangkit, mereka boleh dipertanggungjawabkan. Malah anda juga berhak menghantar aduan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya anda mendapati sesebuah taska ada menerima anak yang tidak divaksinkan atau tidak memeriksa status vaksinasi anak anda. 

Sebagai pengguna perkhidmatan, kita boleh menggunakan tekanan dari pihak kita (consumer) bagi memastikan taska tempat asuhan anak-anak kita, selamat.

2. Pemeriksaan pengesahan vaksinasi adalah dilakukan oleh pegawai perubatan. Buku rekod kanak-kanak, tentu sekali mudah dipalsukan. Namun bukti fizikal pada bayi tetap akan diperiksa. Pun begitu, ada ibu bapa anti vaksin yang licik, yang hanya mengambil vaksin BCG atas alasan 'darurat' bagi mendapatkan parut BCG sahaja. Ini juga supaya anak mereka tidak dianggap pendatang asing suatu hari nanti.

Bagi kita, nak tipu, tipulah. Kita tak rugi apa-apa. Namun anda sebagai anggota masyarakat, jika anda tahu rakan sekerja atau jiran anda adalah anti vaksin tegar, sebaiknya anda elakkan dari anak anda bergaul dengan anak mereka.

InshaAllah situasi ini hanya sementara. Apabila perlaksanaan myHIX diaplikasikan sepenuhnya beberapa tahun lagi, inshaAllah masalah ini akan selesai. Doktor boleh mendokumentasikan maklumat anak ini sejak awal kelahiran lagi dan rekod anak ini akan menjadi centralized dan boleh diakses dari mana-mana institusi kesihatan pada bila-bila masa. Tiada lgi urang 'memalsukan rekod' oleh ibu bapa anti vaksin. 

3. Saya tahu, terdapat doktor dan/atau klinik yang bersubahat memalsukan rekod vaksinasi kanak-kanak. Ada klinik yang siap chop dan sign doktor pada borang tanpa perlu diperiksa oleh doktor, dengan sedikit bayaran. 

Isu ini pernah bangkit tempoh hari, berkenaan antivaks yang kalut gelabah mencari doktor mana yang sudi memalsukan rekod vaksin kerana mahu membawa anak ke Mekah. Ya, betul. Golongan anti vaksin ini nak pergi beribadah pun sanggup menipu.

Doktor/klinik yang bersubahat memalsukan dokumen adalan perbuatan khianat dan tidak beretika. Doktor dan klinik ini boleh diadukan kepada MMC dan lesen practice serta klinik mereka boleh dibatalkan. - Syamirulah | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.