Remaja Mahu Nikah, Perlu Dapatkan Kebenaran MB Atau Ketua Menteri


ALOR SETAR - Mana-mana remaja bawah umur yang mahu berkahwin, perlu meminta kebenaran dari Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri masing-masing, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, semalam. 

Menurut beliau, perkara itu terkandung dalam pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, bagi mengelakkan berlakunya perkahwinan pada usia muda dalam kalangan remaja perempuan. 

"Rata-rata perkahwinan pada usia muda disebabkan mereka terlanjur yang akhirnya remaja perempuan tersebut dibenarkan berkahwin dengan pasangannya oleh keluarga. 

"Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberi pendidikan agar remaja perempuan tersebut diberi masa dan ruang dengan aktiviti lebih sihat agar tidak terjerumus dalam kancah perkahwinan pada usia muda," memetik kenyataan beliau dari Bernama. 

Tambah beliau, wujudnya rasa bimbang terhadap pasangan yang kahwin pada usia muda kerana mereka tidak dapat mengawal emosi lalu menyebabkan rumah tangga bergolak, sekali gus menyebabkan berlaku masalah sosial dalam masyarakat. 

Berdasarkan statistik, sebanyak 105 kes permohonan perkahwinan di bawah umur pada tahun 2015 berbanding 76 kes pada tahun 2014 dan 38 kes pada 2013. 

Bagi Januari hingga 29 Februari 2016, 12 kes permohonan perkahwinan bawah umur telah direkodkan. Peningkatan awla itu perlu dipandang serius dan perlu dibendung awal. 

Nancy berkata, sebanyak 552 kes keganasan rumah tangga di Kedah telah dicatatkan pada tahun 2015 berbanding hanya 404 kes pada tahun 2014 serta 284 kes pada tahun 2013. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.