'Saya Dah Tak Larat Jual Bubur Kacang'


Jalan cerita hidup kita tidak sama. Siapa yang inginkan kehidupan yang susah? Lebih-lebih lagi di alaf ke 21 ini.

Cerita hidup susah, semua cerita zaman bonda saya, Datin Hajah Rumi binti Haji Senin, pada tahun 1952 sehinggalah dia bergelar seorang guru pada tahun 1974 (kalau tak silap). Dan saya, tidak pernah kenal erti hidup kais pagi makan pagi semenjak dilahirkan. 

"Alhamdulillah..."

Malam ini, seusai maghrib, tatkala saya dalam perjalanan menghantar anak kedua ke tuisyen di Bukit Rangin, terkejut melihat sekujur tubuh seorang budak lelaki berteleku memeluk lututnya bersama sebuah bakul dan beg kain duduk di atas jalan. Bukan di atas kaki lima.

Saya yang masih terkejut, ingin sekali berhenti dan bertanya kenapa? Curiosity level very high indeed. Tetapi saya beritahu Eusoffe, biarlah dia selamat sampai ke rumah tok guru dia dulu dan nanti barulah saya berhenti bertanya khabar. 

Anak-anak penjual kuih ini memang tidak asing lagi di sekitar kawasan ini, sudah menjadi tempat mereka mencari rezeki. Tahun lepas, saya sering membeli kuih-kuih dijual adik beradik ini. Tetapi waktu itu di petang hari semasa menghantar anak sulung saya ke rumah tok guru yang sama. 

Tetapi persoalan saya kini ialah, kenapa budak ini masih di jalanan walaupun jam sudah menunjukkan 7 malam?

"Ada lagi RM70, belum terjual. Tapi saya dah tak larat. Saya pening sebab sejak balik sekolah tadi, jam 2 petang dah mula menjual," kata Baharuddin, 14 tahun, dengan suaranya yang sedikit serak dan agak lemah.

Kuantan memang panas pada ketika ini. Anak ini, pelajar Tingkatan 2 di SMK Pandan. Berpindah dari SMK Gudang Rasau kerana ibunya khuatir tentang keselamatan diri anak ketiganya ini untuk melintas 3 lorong jalan besar Taman Tas, Kuantan. 

Tujuan saya kongsi posting ini hanyalah untuk 2 tujuan.

1. Terima kasih kepada warga Kuantan yang berhenti membeli dengan adik ini. Ada juga yang menghulurkan duit tanpa membeli apa-apa tadi. 

Warga Kuantan terutamanya penduduk Bukit Rangin, Permatang Badak dan Sungai Isap tidak pernah jemu membantu adik beradik ini.

2. Pakat-pakat beli sikit seorang bubur kacang hijau, bubur biji nangka, pengat pisang dan bubur pulut hitam yang mereka jual untuk juadah minum petang anda. 

Berilah mereka peluang untuk pulang awal ke rumah mereka yang jaraknya sekitar 7 kilometer dari tapak jualan. Rumah mereka di Batu 6 belakang Ferro Futsal. 

Tak tergamak untuk kata tidak pada Baharuddin bila dia merayu untuk dihantar pulang kerana kurang sihat. Sebelum dia naik kereta tadi, sempat dia beritahu pada adiknya (darjah 6 SK Fakeh.

"Kalau tak habis jualan itu, sedekah pada masjid ye," katanya.

Allahu.. Allahu.. Allahu.. - Zarina Abdullah | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.