'Saya Ini Cikgu. Jadi, Cikgu Kerja Dia Nak Membetulkan'


KUALA LUMPUR - Setelah lama dirinya menjadi perbualan di media sosial tentang teguran penggunaan perkataan 'awak', akhirnya Dr Harlina Halizah Siraj, tampil memberikan penjelasan.


Temubualnya bersama Astro Awani menjelaskan bahawa, pada hari insiden itu dia sedang mencari beberapa quotation (sebutharga) untuk satu urusniaga dari beberapa buah syarikat yang mungkin ada produk yang dimahukannya.

BAGAIMANA IA BERMULA?

"Saya perkenalkan diri saya daripada institusi mana, dan saya katalah yang saya jumpa tentang syarikat mereka di internet. Saya ada hantar pada beberapa syarikat yang lain. Syarikat yang itu nampak menjawab dengan lebih profesional dan meminta saya memberikan alamat e-mel agar quotation dapat dihantar kepada saya. 

"Ini bukanlah urusniaga mahu menipu atau satu barang online mungkin dua tiga helai saja. Ini kita bercakap tentang ribuan item, ribuan unit.

"Jadi saya pun hantarkan dan mendapati ada satu syarikat ini tidak membalas mesej saya. Ingatkan dia tidak berminat, rupanya dia mesej saya melalui WhatsApp. 

"Jadi, bila buka mesej itu, saya agak terkejut. Saya ini orang lama, agaknya terkejut saya itu sebab mungkin dengan satu pertanyaan yang formal, jadi saya mungkin mengharapkan mesej yang formal dibalas semula kepada saya. 

"Iyalah, ini syarikat perniagaan. Bila dia membahasakan saya sebagai awak, saya terus menjadi terkejut sedikit. Seperkara lagi, saya ini cikgu, jadi cikgu ini kerja dia nak membetulkan. 

"Saya sudah nyatakan di situ, sebab saya ada membaca komen-komen netizen seperti 'manalah seller itu tahu orang ini puan ke apa ke,'. Tetapi saya memang nyatakan maklumat di situ menunjukkan saya seorang yang tua. 

REAKSI PENIAGA BILA DITEGUR?

"Cukuplah saya beritahu yang dia sebenarnya tidak endah dengan nasihat itu. Macam ada perlian sikit dan akhirnya saya memang tidak meneruskan dan kata saya minta maaf, saya dah dapat quotation yang baru dari syarikat lain," jelasnya.

Bagaimanapun, Dr Harlina memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tidak senang dengan tegurannya itu dan berpandangan mungkin golongan generasi baru ini tidak memahami tegurannya yang tidak berniat jahat tersebut. - PIXEL MEDIA  

No comments

Powered by Blogger.