'Saya Selalu Dikutuk Gigi Buruk, Jongang'


Siapalah kita hendak menghina paras rupa fizikal orang lain. Bukannya mereka meminta dilahirkan sebegitu rupa. Sudah takdir menentukan begitu, tidak wajar dihina ciptaan Allah seolah-olah diri itu terlalu sempurna sehingga menghina orang lain. 

Baru-baru ini, penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, memuat naik rasa terkilannya dihina beberapa individu di laman Instagram yang mengata hidungnya buruk dan disamakan dengan hidung babi. Pelawak dan pengacara, Jihan Muse, tampil meluahkan rasa simpatinya pada isteri Shuib itu. 

"Terbaca status Instagram Siti Sarah Raissuddin. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada beliau kerana dikurniakan kekuatan dan kekebalan yang bukan senang nak diperolehi," katanya.

Menurut Jihan, beliau juga pernah berdepan dengan masalah yang sama sejak dari kecil sehingga dirinya bergelar sebagai peserta Raja Lawak.

"Bukanlah Sarah seorang, malah ramai lagi termasuk saya yang turut diejek kerana rupa dan fizikal dari kecil. Dulu semasa di sekolah, bukan main sensitif. Tetapi usia mematangkan kita. Malah, kini saya sangat-sangat bersyukur kerana dikurniakan fizikal sebegini dengan rezeki dan nikmat yang Allah kurniakan kepada saya. Sesungguhnya percaturan Allah itu Maha Adil dan melangkaui penilaian manusia.

"Jika  20 tahun yang lalu tiada seorang pun yang percaya wajah ini boleh muncul di mana-mana televisyen. Sebab itu saya menasihatkan kepada mereka yang berasa rendah diri dengan fizikal masing-masing, anda sebenarnya sedang merendahkan diri sendiri kerana komen-komen orang lain. 

"Dan kalau anda melayan mereka, anda tidak akan melangkah jauh. Percaya pada Allah, percaya pada rezeki, percaya pada diri. Jangan negatif.

Jihan Muse memakai pendakap gigi

"Saya pun sudah lali dan saya bersyukur sebab selalu dikutuk dan diejek gigi buruk, jongang dan sebagainya. Sebab itulah juga saya menjadi lebih kuat, chill dan tak peduli apa yang orang kata kerana yang bercakap itu biasanya tak buat apa-apa selain bercakap. 

"Buat lawak, bahan membahan itu tak ada hal pun, kita pun sama bahan orang. Tetapi hat yang tak kenal itu, siap menghina tahap dewa macam member lama, itu yang takleh blah," katanya.

Namun begitu, difahamkan Jihan telah mengambil inisiatif membetulkan giginya dengan memakai pendakap gigi. Dan kini Jihan kelihatan lebih yakin dengan penampilan dirinya. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.