Sayu, Tiada Lagi Lambaian Dari Mereka...


TELUK INTAN - Semalam di media sosial, tersebarnya mengenai berita kemalangan yang melibatkan pasangan warga emas ini, cetus rasa simpati netizen. 

Pasangan yang berbangsa Cina ini dikenali sebagai Romeo dan Juliet di Teluk Intan, Perak, itu dilaporkan maut dalam kemalangan pada 26 April lalu, akibat dilanggar oleh lori yang melanggar lampu isyarat merah. 

Difahamkan, pasangan ini sudah tidak asing lagi bagi warga Teluk Intan. Saban hari mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan menaiki basikal untuk mencari kotak yang tidak digunakan lagi, sebagai sumber pendapatan bagi menyara hidup mereka. 

Susulan kehilangan pasangan ini, tampil beberapa individu meluahkan rasa sedih mereka di laman Facebook. 

Teluk Intan Kehilangan 'Guru' Paling Berharga

Saya tidak mengenali mereka berdua tetapi saya tahu kewujudan mereka. Mereka berbangsa Cina dan dikenali oleh semua kaum di sekitar Teluk Intan ini.

Mereka sentiasa berada di tepi jalan raya sekitar Bandar Teluk Intan mengutip kotak dan tin. Suaminya mengayuh, isteirnya membonceng. Setiap kali ada tin di tepi jalan, si isteri akan turun mengutip dan menyimpannya dalam plastik. 

Kembara mereka berdua berterusan sehingga ke belakang pasar raya dan kedai-kedai. Mengutip kotak, melipat kotak dan diletakkan dalam basikal roda tiga. Mereka teruskan perjalanan. Adakalanya terdengar si isteri ketawa mendengar suaminya membebel.

Mereka sebenarnya OKU kategori masalah akal, tetapi mereka tak gila. Mereka tidak menganggu orang, hanya tenggelam di dalam dunia mereka sendiri. Mereka mungkin autistic atau autisme. Mereka juga ada sepasang anak lelaki yang berkemungkinan kembar yang juga agak lembam (mungkin autistic syndrome disorder) yang mana salah seorangnya telah meninggal dunia.

Semalam, 26 April 2016, uncle dan auntie ini meninggal dunia akibat dilanggar lori di simpang lampu isyarat Kampung Banjar Teluk Intan. Mayat mereka amat menyayatkan hati.

Mereka ditemui dalam keadaan berpelukan. Mayat isteri di atas suami, seolah-olah si si isteri cuba melindungi suaminya dari digilis lori, malangnya, kedua-dua mereka maut di tempat kejadian. 

Sejak dari itu, kami warga Teluk Intan, kehilangan 'guru' yang paling unik di pekan ini. Kenapa saya gelarkan mereka sebagai guru? 


Mereka tidak pernah meminta malah sudi memberi. Mereka pasangan yang setia sepanjang masa bersama. Di atas basikal roda tiga itulah tempat mereka berdua. Penduduk Teluk Intan begitu tersentuh melihat auntie ini mengelap peluh suaminya yang gigih mengayuh basikal. Mereka dilihat kerap berpanas dan berhujan bersama-sama. 

Pernah ada orang yang bercerita tentang mereka. Di saat uncle ini berhenti di stesen minyak untuk mandi, dia memberikan wang kepada isteirnya. Isterinya menunggu suaminya habis mandi dan isteri menghulurkan air mineral kepada suami untuk diminum. Sambil si isteri menggelap rambut suaminya. Selepas itu, isterinya minum air dari botol yang sama. Ternyata perbuatan mereka itu amat menyentuh hati warga Teluk Intan. 

Pasangan yang OKU, tetapi cinta mereka sempurna. Berkongsi sekecil-kecilnya kurniaan dan rezeki dari Allah yang memberi dan berpuas hati dengan apa yang ada. 

Dulu, uncle ini pernah berkata dia tiada wang untuk mengebumikan anaknya yang maut dilanggar kereta, beberapa tahun yang lalu. Dia membawa jenazah anaknya menggunakan basikal roda tiga ini sebelum dikebumikan. 

Dia juga pernah memberi kotak-kotak secara percuma kepada guru-guru yang mahu balik ke kampung. Apabila dihulurkan wang, dia menolak. Akhirnya guru tersebut membelikan sedikit barang keperluan dan minuman lalu diletakkan dalam basikalnya. 

Selain itu, mereka juga tidak kedekut. Nampak saja budak-budak yang mahu membeli jajan di kedai, serta merta akan dihulurkan wang.

Semalam, mereka pergi buat selama-lamanya dalam keadaan yang amat tragis. Selepas ini, Teluk Intan tidak akan melihat lagi kelibat mereka berdua dengan basikal roda tiganya. Tiada lagi lambaian tangan setiap kali mendengar hon dari pemandu yang beramah mesra dengannya. 

Damailah uncle dan auntie. Damailah bersama cintamu yang sejati. Damailah. - Yazid Ikhwan Bahari | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.