'Wang Hadiah Kecil Tetapi Yang Penting Semangat & Minat'


PUTRAJAYA - Tidak menunggu lama isu wang ganjaran yang ciput di kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) viral di media sosial, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tampil memberikan penjelasannya.

Menurutnya, program itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana nilai hadiah kemenangan telah dimaklumkan oleh penganjur kepada peserta melalui laman web JCM. 

"Segala hadiah kemenangan telah dimaklumkan kepada semua peserta sebelum pendaftaran dan dipaparkan dalam laman web JCM. Jadi, tidak timbul isu mereka tidak tahu atau tidak dihargai. 

"Rata-rata ibu bapa yang membawa anak mereka tidak fikir soal hadiah wang tetapi telah mengorbankan masa mereka kerana minat anak-anak mereka dalam sukan basikal," jelasnya melalui laman Facebooknya. 

Khairy mengakui jumlah wang yang diberikan itu adalah kecil tetapi tidak sepatutnya menjadi ukuran. Kerana apa yang lebih penting ialah minat dan semangat persaingan dalam diri peserta itu sendiri. 

"Saya akui jumlah wang yang diberikan itu kecil. Pihak JCM memilih untuk berbuat demikian kerana yang paling penting untuk kategori umur kanak-kanak adalah minat, pengalaman penyertaan dan kemahuan untuk menang bukan kerana habuan wang. 


"Jika di peringkat kanak-kanak kita sudah membiasakan mereka dengan hadiah wang tunai, saya risau mereka akan lupa matlamat utama mereka berjuang dalam sukan," katanya. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.