Wang Hantaran RM16,000 Dikebas Bakal Pengantin Perempuan


TAMPIN - Hancur remuk hati seorang posmen apabila perempuan yang bakal menjadi isterinya telah melarikan diri dari kediamannya. Lebih mengejutkan lagi, kesemua ahli keluarga perempuan itu telah meninggalkan rumah mereka.

Bakal pengantin itu tidak dapat dihubungi, menyebabkan rombongan pengantin lelaki terpaksa menanggung malu dan rasa tertipu. Sedangkan, keluarga perempuan terbabit sudah bersetuju anak mereka dinikahkan di rumah tersebut semalam, lapor Sinar Harian

Difahamkan, wang hantaran sebanyak RM16,000 juga telah diserahkan kepada pihak perempuan, sebelum hari pernikahan. Kedua-dua pihak juga telah berbincang pernikahan akan diadakan pada 2 April 2016, yang juga merupakan tarikh ulang tahun kelahiran lelaki terbabit. 

Menurut sumber, meskipun majlis akad nikah dan perkahwinan belah pihak pengantin perempuan telah ditetapkan sebelum ini dan kad jemputan juga telah dibuat, namun jiran-jiran mereka tidak mengetahui hal itu, malah tidak pernah mendapat sebarang jemputan. 

Bakal pengantin lelaki berusia 26 tahun itu telah mengikat pertunangan dengan kekasihnya yang berusia 22 tahun, bekerja sebagai jurujual di kedai telefon di salah sebuah kedai di Pulau Sebang pada pertengahan 2014. 

"Mengikut perjanjian semasa majlis pertunangan, mereka sepakat menunggu tempoh dua tahun bagi memberi peluang kepada bakal pengantin lelaki mengumpul wang hantaran RM19,000. 

"Bakal pengantin lelaki hanya bekerja sebagai posmen di Kuala Lumpur, berjaya mengumpul wang hantaran dengan hasil titik peluhnya sendiri dengan gaji RM900 sebulan serta bantuan kewangan dari adik beradiknya yang lain," katanya. 

Sebanyak RM13,000 telah diserahkan kepada pengantin perempuan yang tinggal kira-kira 3 kilometer dari kediaman keluarganya pada pertengahan November 2015. Pada awal Mac lalu, sebanyak RM3,000 pula telah diserahkan lagi kepada mereka. 

Baki RM3,000 pula akan diserahkan kepada bakal isterinya di hari akad nikah yang sepatutnya berlangsung semalam. 

Berikutan tindakan belah pengantin perempuan itu, mangsa terpaksa menanggung kerugian lebih dari RM30,000 kerana sudah membuat pelbagai persediaan di majlis perkahwinan rumah pengantin perempuan termasuk pelamin, baju pengantin dan jurukamera. 

Sehubungan itu, mangsa nekad mengambil tindakan saman malu kerana bakal pengantin perempuan melarikan diri di hari perkahwinan termasuk mengedarkan kad jemputan perkahwinan bagi pihak keluarga lelaki. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.