Waqf Airlines, Pesaing Rayani Air Mulai November Ini


KUALA LUMPUR - Sebuah lagi syarikat penerbangan patuh syariah akan dilancarkan pada November tahun ini, menjadikan Rayani Air mempunyai pesaing baru. 

Waqf Airlines, adalah hasil kerjasama diantara Perbadanan Wakaf Selangor, Eco Riths Travel dan Tour Sdn Bhd. 

Ketua Pegawai Eksekutif Waqf Airlines, Rithsman Mohamed berkata, mereka akan menawarkan penerbangan ke Mekah dan Jeddah pada harga subsidi selain beberapa destinasi utama. 

Waqf Airlines berazam menjadi syarikat penerbangan pertama yang dianugerahkan patuh syariah sepenuhnya oleh pihak berkuasa dari segi operasi dan dana serta dipantau oleh lembaga syariah. 

Dari segi pakaian, rekabentuknya akan direka mengikut syariat Islam dan mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa. 

Waqf Airlines juga akan menyediakan ustaz untuk menyampaikan takzirah bagi penerbangan ke Arab Saudi selain menyediakan bacaan doa sebelum berlepas dan mengumumkan waktu solat ketika dalam penerbangan. 

Syarikat itu tidak menolak kemungkinan akan memisahkan penumpang lelaki dan wanita bukan muhrim. Manakala tempat untuk keluarga akan diutamakan.

Selain menawarkan tambang bersubsidi kepada penumpangnya, mereka juga merancang menyalurkan 20% keuntungan ke Tabung Projek Kebajikan Perbadanan Wakaf Selangor dan 2% kepada Tabung Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) - PIXEL MEDIA

Sumber: Malay Mail Online | Free Malaysia Today

No comments

Powered by Blogger.