'Aku Tak Menyesal Tinggalkan Malaysia...' - Isha


Adakalanya aku tertanya-tanya, betul ke tindakan yang aku buat? Suami isteri berhenti kerja dengan selamba memulakan hidup baru di UK. Jujurnya, aku sebenarnya tidak tahu betul atau tidak. Sehinggalah terjumpa dengan Isha, orang Bangladesh di Lisbon. Dia buka outlet kebab di sana. Isha pernah datang ke Malaysia dan bekerja di ladang. 

Selepas bersembang, Isha memberitahu dia tidak menyesal meninggalkan Bangladesh atau Malaysia. Bukan sebab Lisbon lebih baik, tetapi dia rasa ada kebaikannya. Lalu dia mula bercerita dan aku mendengar, sesekali mengangguk dan hadam apa yang diceritanya itu. 

1. TENTANG KEHIDUPAN

Membesar di negara sendiri, kau sudah belajar bagaimana nak hidup di situ. Kau dah tahu selok belok, cilok mencilok, spin dan twist. Skill survival sudah tinggi. Jadi dah selesa di Malaysia, kawan dah ramai dan kabel kau pun dah power. 

Tetapi di luar negara, kau akan belajar semula hidup survival. Tiada tongkat, kabel, kenalan ataupun orang dalam. Kau rasa helpless, semua kena buat sendiri. Kau tidak bergantung kepada manusia untuk mengubah hidup. Ubah sendiri, usaha dan tawakal. 

Yang kau ada hanya Tuhan dan hanya Dia yang boleh menolong. Baru kau rasa penyerahan pada Tuhan dan bukan pada manusia. 


2. BUKAN DENGAR CAKAP ORANG

Di Malaysia, kau akan terpengaruh dengan apa yang orang sekeliling katakan. Itu ini tak betul, semua dah menjadi seperti tuan penasihat. Sehinggakan kau pun dah menjadi keliru, yang mana betul, yang mana tidak. Kau cuba puaskan hati orang, tekanan sosial sangat tinggi.

Bila kau berada di negara orang, kau akan buat keputusan sebab kau rasa itu yang betul dan paling tepat. Kau boleh buang penasihat tak rasmi. Kau belajar bertanggungjawab 100% terhadap keputusan kau. Kau boleh pilih kau mahu tinggal di mana, kecil besar kereta kau nak guna, langsir macam mana kau nak pasang. Tak ada orang peduli atau nak beri nasihat. Masa depan kau bukan di tangan orang. 

3. KITA DENGAN ORANG PUTIH TAK BANYAK BEZA PUN

Kalau dulu kita dijajah, sebab itu kita sudah terpandang mereka lebih tinggi, lebih hebat. Kita sendiri bila berbahasa inggeris rasa menggigil sedangkan kita belajar bahasa inggeris dari sekolah rendah sehingga SPM. Kita pula menjadi ragu-ragu dengan diri sendiri. 

Sedangkan mereka ini tidak selincah orang Malaysia. Orang kita ini berbakat, kreatif, multitasking. Semua ciri-ciri yang aku sebut ini, kurang ada pada orang putih. Kita tidak sedar atau terlupa dengan kelebihan ini, kita ini taklah selekeh sangat sebenarnya. 

Dulu mungkin kau akan bandingkan "aku berbanding dia,". Tetapi bila sudah tahu, kau akan rasa "aku sama dengan dia,". Entah-entah kalau akan rasa kau lebih pandai dari dia. Dunia luar sana tidaklah menakutkan sangat sebenarnya. 

4. KAU LEBIH HEBAT DARI YANG DIJANGKA

Kau akan buat benda yang tak terfikir mampu buat. Banyak perkara yang akan kau belajar buat snediri. Bercakap, baca buku, tukar tayar, repair rumah, masak, jaga budak, berkira-kira. Walau tak sesedap mana, sekurang-kurangnya aku belajar masak mee goreng bila aku duduk Glasgow. Dulu di Malaysia main tunjuk saja menu di kedai. 

5. TIADA YANG LEBIH BAIK DARI TANAHAIR SENDIRI

Rata-rata aku tanya orang Malaysia di luar negara, tidak akan menyerah kerakyatan Malaysia. Sebab apa? Tiada negara yang sebaik negara sendiri. Kita sahaja yang tahu seburuk mana pun Malaysia, itulah tempat kau membesar dan menjadikan diri kita sekarang. 

Bila kau tengok kereta Proton buruk di jalan raya UK ini pun, kau punya bangga tengok produk Malaysia. 

6. HARGAI, BELAJAR & MENGHORMATI BUDAYA

Aku selalu kena bash kata aku selalu membandingkan Malaysia dengan luar negara. Aku bukan nak dewakan tetapi aku jadi celik mata. Ada banyak perkara di Malaysia sebelum ini aku take for granted, tak hargai pun. Contohnya bagaimana orang di sini menghargai masa, terbuka dalam berbincang mengenai agama. 

Janganlah kau marah aku dengan Isha. Kami pun bukan semaksum mana, banyak saja yang tidak betulnya. Kalau kau ada peluang, pergilah cuba hidup di luar negara. Kau boleh ikut cara aku dengan Isha kalau kau rasa betul atau kau boleh rileks seperti biasa. 

Tidak akan menguba apa-apa jika setakat bercuti berselfie dan buat muka muncung itik atau posting lentik. Update di Facebook dan tunggu like beribu-ribu. - Irwan Dahnil

No comments

Powered by Blogger.