Anak Pertama Adalah Anak Yang Terindah & Teristimewa Kerana...


Anak pertama yang indah, yang istimewa.

Apabila kita hamil anak kedua dan seterusnya, maka anak pertama akan menjadi sasaran kemarahan kita. Letih melayan macam-macam karenah yang menyakitkan hati. Maka kita akan tengking, marah, cubit dan pukul.

Kemudian di malam hari, kita mula sebak melihat wajah si kecil. Mula menyesal dan taubat, lalu berharap dan berjanji kita tidak akan buat lagi. Namun di hari lain kita terlupa pada janji dan mengulanginya lagi. 

Ingatlah bahawa yang pertama itu yang paling istimewa. Dialah tempat kasih pertama tercurah. Dialah peneman tatkala sunyi dan lara. Dialah penghibur tiada pengganti. Dialah yang pertama menghuni rahim mulia ini. 


Sudah-sudahlah kita marahkan dia kerana kita yang tersilap mendidik. Kita yang salah, kita yang belum pandai. 

Ingatlah sentiasa, si kecil ini adalah ujian untuk membawa kita ke syurga mahupun neraka. Dia permata hati, pengikat kasih sayang. Melaluinya, Allah salurkan rezeki tidak putus-putus. Allah kuatkan semangat dan sabar kita. Allah buatkan kita menjadi rajin berusaha dan yakin dengan janji Allah. 

Ajarlah dia tentang tauhid, membesarkan Allah. Ajarkan dia takut hanya kepada Allah. Mohon apa sahaja hanya kepada Allah. Syaitan musuh yang nyata, jangan ikut syaitan. 

Buat baik, Allah sayang. Orang yang baik, Allah sayang dan akan masuk syurga. Sayang adik, kasihan adik, maafkan adik. Rajin belajar, Allah suka. Syukur walau dapat sedikit, orang yang syukur, Allah akan tambah lagi banyak. 

Pujuk dia dengan kasih sayang, doakan dia dengan kasih sayang. Doakan dia dengan kasih sayang. Tegas bukan tengking, bukan kasar, bukan cubit sakit-sakit atau tampar wajahnya. Allah, kasihanilah dia. 


Dia anak pertama, dahulu dia tiada, kita harap dia ada. Lalu bila Allah beri dia kepada kita, mengapa kita tak jaga baik-baik? Mengapa mudah geram dan marah? Adakah dia menyenangkan kita atau menyusahkan kita? Jika menyusahkan, bukankah lebih baik jika Allah ambil dia semula? Senang hati, tentu kita boleh tersenyum lebar kan?

Wahai ibu dan ayah, dia anak penuh karenah. Itulah ujian. Bukan menghukum, mendenda tak henti-henti, lalu memujuk ambil hati smeula. Berdoalah dengan doa surah Al-Furqan ayat 74. 

Sayangilah dia sepenuh hati. Sayangi dia kerana Allah. Sayangi dia bukan kerana dia baik dan dengar kata tetapi sayangi dia kerana dia permata pertama anugerah terindah dari Allah. Melaluinya kita belajar mengenal kasih tuhan. 

Uruskan dia dengan sabar. Taubat dan teruslah taubat kerana kita ibu dan bapa mulia yang penuh kasih sayang. Bukan kasar dan bengis. - Noor Laila Aniza Zakaria | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.