Baby Berusia 25 Hari Pun Nak Dibekam?


KUALA LUMPUR - Tindakan seorang jurubekam melakukan bekam terhadap bayinya sendiri, dikecam oleh netizen. 

Lapor Sinar Harian, Azizi Abdul Hadi, 36, mengakui melakukan bekam terhadap bayinya yang baru berusia 25 hari setelah membuat kajian, berguru dan membuat kajian berkaitan bekam. 

Azizi yang mempunyai Diploma Eksekutif Keusahawanan Islam dari USM KUbang Kerian itu juga telah mengikuti kursus International Oxidant Drainage Theraphy Society Jakarta.

"Saya membuat bekam sayatan pada anak dahulu seawal usia 25 hari ketika dia demam. Maksimum 6 cawan digunakan dan ternyata ia memberikan kesan positif pada kali kesembilan. 

"Sehingga kini saya tidak suntik vaksin pada anak. Bukan tidak percaya, saya lebih selesa mengamalkan alternatif tradisional dengan berbekam," katanya yang juga mendakwa kaedah itu dapat mengubati sakit seperti demam, sakit perut dan batuk. 


Azizi juga berharap agar sunnah Rasulullah SAW itu terus dijadikan pilihan utama masyarakat Malaysia untuk pencegahan dan rawatan segala penyakit kronik. 

Namun begitu, wakil Kumpulan Perawat Bekam, Mior Imran, menjelaskan bahawa kepakaran Azizi tidak diiktiraf dan tidak layak menjadi pengamal. 

"Kami dalam kumpulan perawat bekam tidak mengiktiraf kepakaran beliau. Guru-guru besar bekam di Malaysia juga menolak kepakaran beliau. Namun agak malang kerana beliau banyak melakukan penipuan atas nama bekam," katanya. 



Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik tindakan lelaki terbabit kerana mendakwa tindakan melakukan bekam ke atas bayinya itu kerana mengikuti sunnah Rasullullah S.A.W. 

"Saya tidak pasti apakah berita itu tersalah lapor ataupun memang demikian yang berlaku. Apa yang saya amat bimbang ialah jika ada pembaca yang kurang maklumat akan tersalah faham terhadap baginda Nabi S.A.W. 

"Mereka akan percaya kononnya Nabi suruh ibu bapa membekam bayi kecil walaupun tanpa sebarang sebab yang jelas. Itu sama sekali tidak benar. Tidak mungkin Allah dan Rasul menuntut amalan hijamah itu jika berisiko tinggi bagi ummatnya.

"Dalam riwayat hadis yang sahih, Nabi berbekam disebabkan kesakitan kepala baginda, bukan sengaja dilakukan tanpa penyakit. 

"Kehendak mengikut sunnah sesuatu yang baik namun hendaklah juga difahami konteks sesuatu sunnah yang dipraktikkan oleh baginda agar tidak tersalah tafsir," katanya. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.