Buat Tuntutan Palsu RM37,180, 23 Penjawat Awam Ditahan


KANGAR - Akibat mengemukakan tuntutan palsu sepanjang tahun 2015, dua wanita antara 23 penjawat awam di negeri ini yang ditahan dalam operasi selama dua hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri sejak kelmarin.

Pengarah SPRM Perlis Yaacop Angah berkata, semua suspek berusia antara 29 hingga 57 tahun adalah kakitangan awam membabitkan pelbagai jawatan dan agensi. 

"Berdasarkan siasatan, kita mendapati mereka disyaki membeli resit dari hotel bajet sekitar Kuala Lumpur pada harga RM10 sepanjang tahun lalu dan menuntut semula di pejabat masing-masing dengan kadar antara RM160 hingga RM220 mengikut kelayakan gred masing-masing.

"Siasatan juga mendapati terdapat individu yang mengemukakan tuntutan sehingga 10 kali dalam tempoh setahun dengan jumlah tertinggi tuntutan mencecah RM9,850. 

"Jumlah keseluruhan tuntutan untuk semua kes adalah RM37,180 dan kita percaya masih ada kegiatan membeli resit hotel yang dilakukan oleh penjawat awam di negeri ini," katanya. 

Menurutnya, pihaknya dengan bantuan Cawangan Perisikan Khas Ibu Pejabat SPRM sudah menahan pemilik yang juga pengarah urusan sebuah hotel bajet berkenaan berusia 58 tahun di Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694). - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.