'Jabing Sudah Tiada...'


SINGAPURA - Seorang warganegara Malaysia yang berasal dari Miri, Sarawak, telah digantung sampai mati jam 3.30 petang tadi di Penjara Changi. 

Jabing Kho, 31, didapati bersalah atas tuduhan membunuh seorang pekerja binaan warga China, Cao Ruyin, dalam cubaan merompak di Geylang Drive pada tahun 2009, bersama dengan rakan senegerinya, Galing anak Kujat. 

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Kamsiah Kamaruddin dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang kini sedang membuat persiapan dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak untuk membawa jenazah Jabing pulang ke negeri itu, esok, lapor Harian Metro. 

Jenazah Jabing Kho dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 1, Jalan Kuala Baram, Miri, Sarawak. 

Jabing yang sebelum ini beragama Kristian telah memeluk Islam semasa berada di dalam penjara. Dan beliau memilih nama Muhammad sebagai nama baru.

Difahamkan, pelaksanaan hukuman itu sepatutnya dijalankan pada waktu subuh hari ini, namun peguamnya, Jeanette Chong-Aruldoss, berjaya memperoleh penangguhan sementara perlaksanaan hukuman itu selepas memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan selepas mendapat perintah Mahkamah Tinggi lewat malam tadi. 

Prosiding rayuan penangguhan hukuman yang mengambil masa lebih tiga jam pagi tadi, didengar di hadapan panel Hakim Rayuan Chao Hick Tin dan Andrew Phang serta hakim Woo Bih Li, Lee Seiu Kin dan Chan Seng Onn.

Bagaimanapun Mahkamah Singapura menolak rayuan penangguhan itu. 

Sebaik saja jurubahasa membaca penolakkan rayuan itu, Jabing kelihatan menutup mukanya dengan tangan. Jabing dibenarkan bertemu dengan ibu dan kakaknya dari sebalik dinding kaca. 

Pada tahun 2013, Jabing berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengenepikan hukuman gantung sampai mati, susulan kajian semula terhadap undang-undang mati mandatori di negara itu dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan. 

Namun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengekalkan hukuman mati terhadap Jabing pada Januari 2014 dan Mahkamah Tinggi menolak rayuan terakhir Jabing pada 5 April 2016. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.