'Jangan Ingat Boleh Lari, Tunggu Surat Saman Masing²'


SEREMBAN - Pemilik kenderaan yang dikesan menggunakan laluan kecemasan ketika insiden kemalangan di Kilometer 228.6 Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Rembau, Ahad lalu, tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Md Dali Wahid berkata, kesemua pesalah lalulintas yang tidak mengikut undang-undang akan dikenakan tindakan yang dikeluarkan Bukit Aman. 

"Saya sangat kesal dengan segelintir pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan menggunakan laluan kecemasan dengan sesuka hati. 

"Misalnya kes di Kilometer 228.6 tempoh hari, jelas sekali menunjukkan ramai pengguna kenderaan menggunakan lorong kecemasan sehingga menghalang laluan ambulans.

"Ini secara tidak langsung menyukarkan operasi menyelamat, sekali gus memberi kesan kepada mangsa kemalangan yang terlibat," katanya semalam. 

Md Dali berkata, polis trafik kini sedang mengesan pengguna kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan tersebut sebelum mengeluarkan tindakan saman terhadap kesemua mereka yang terlibat. 

Dalam kejadian Ahad lalu, sebuah kemalangan tragis melibatkan nyawa dua beradik.


Difahamkan, pihak ambulans yang dihubungi terpaksa mengambil masa lebih sejam untuk tiba sedangkan masa diambil sepatutnya cuma 15 minit untuk ke lokasi kejadian berikutan sikap pengguna jalan raya menyalahgunakan lorong kecemasan.

Dua beradik berkenaan yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC cedera parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ). Bagaimanapun kelewatan menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di hospital berkenaan. - SINAR HARIAN

No comments

Powered by Blogger.