'Jangan Seru Nenek Tua Itu, Nanti Dia Datang...'


Kisahnya bermula ketika aku sedang menjalani tempoh berpantang anak kedua di rumah aku sendiri. Rumah aku berdekatan dengan rumah orang tua aku. Aku merupakan ibu muda dan berkemampuan melihat makhluk halus semenjak dari kecil. Tetapi bila sudah meningkat dewasa, 'kelebihan' yang dimiliki itu menjadi semakin jarang. Maksudnya bila benda itu ada dalam rumah aku atau sekitar, aku boleh nampak. 

Aku melahirkan anak pada pertengahan tahun lepas. Aku tinggal di bandar. Semua orang tahu nak mencari bidan atau tukang urut di bandar memang susah dan payah. Tambahan, mahal pula caj perkhidmatannya. 

Beberapa bulan sebelum bersalin, bermacam-macam persiapan yang telah aku buat termasuklah mencari bidan melalui internet atau melalui kawan-kawan.

Selepas bersalin, aku dapatkan perkhidmatan dari seorang bidan ini. Dia boleh datang ke rumah dan bayaran mengikut keikhlasan hati dan dia tidak akan meminta bayaran. Tetapi ada satu masalah, bila dia mula mengurut, langsung tiada rasa. Selepas selesai diurut, aku beritahu suami untuk henti gunakan perkhidmatannya. Sampailah ke giliran tukang urut nenek mistik ini. 

Pagi itu, mak aku masuk ke rumah mengikut pintu dapur (pintu belakang). Aku yang tak tahu apa-apa ini dengan mata yang masih terkial-kial baru nak bangun, mak perkenalkan nenek tua yang berusia lebih 80-an. Dia masih gagah lagi berjalan dan melompat. 

"Nenek ini power mengurut. Mak dah try, kau cuba pula berurut dengan nenek ini," kata mak.

"Nak, mandilah dulu," kata nenek itu. 

Selepas mandi, dia terus mengurut aku. Tetapi semasa di bahagian peranakan, dia guna kaki. Kaki okay!? Aku diamkan diri saja. Tetapi, dia urut guna tangan sedap juga. Dia siap beri aku makan jamu buatannya sendiri. 

Keesokan harinya, bila aku bangun, badan terasa sangat bertenaga dan segar! Malah aku rasa macam bukan dalam pantang. Langsung tiada sakit apa-apa dan badan ringan siap boleh melompat bagai. Tetapi aku tak melompatlah, cuma nak pembaca bayangkan betapa kuatnya jamu nenek tua itu yang baru sekali aku makan. 

Oh ya, aku berpantang, anak sulung ada sekali. Tetapi yang peliknya, anak sulung aku yang berusia setahun lebih ini tak mahu langsung dekat dengan nenek tua itu. Disuruh salam tangan pun tak nak, duduk dekat dengan nenek itu lagilah dia meraung menangis tak nak. 

Masa itu, aku tak fikir apa-apa yang pelik pun. Tak tahu kenapa aku tak fikir apa-apa. Nenek itu datang dekat dengan anak aku, anak aku terus lari menangis-nangis. 

Satu hari itu, aku baringkan anak sulung di atas riba, tiba-tiba nenek itu datang pada aku dan ajar cara mengurut kaki bayi atau budak-budak. Anak aku terus meronta-ronta macam tak mahu nenek itu pegang dia. Tetapi aku terpaksa tahan anak aku sampai nenek itu selesai mengurut kaki anak aku.

Selepas beberapa hari, tiba-tiba datang pula seorang ustaz dari Darul Syifa. Mak beritahu yang nenek tua hari itu ada bela jin. 

"Dia bela jin apa mak?" soal aku. 

"Hantu kucing," jawab mak. 

Menurut ustaz itu, tukang urut siam ini banyak menggunakan 'khidmat' jin. Di siam, paling kuat Hantu Kucing. Hantu Kucing ini, dia begini, dekat nenek itu ada seekor ketua kucing. Selepas itu ketuanya boleh suruh anak-anak dia yang ada beberapa ekor pergi ke tempat yang tuan dia arahkan. Setiap orang yang pernah diurut oleh nenek ini akan diletakkan seekor anak kucing dalam badan orang itu. Hasilnya, orang yang diurut itu boleh terus menjadi sihat.

Contoh terdekat, abang aku. Kebetulan dia tidak boleh berjalan sebab terjatuh teruk. Selepas nenek itu urut kaki dia, terus dapat berjalan seperti biasa dan melompat. Tak percaya? Tak percaya sudah. 

Selepas ustaz itu baca-baca, dia beritahu yang nenek tua itu letak seekor di kepala dan seekor lagi di peranakan aku. Dua ekor! Semasa dia rukyahkan aku, perut terasa sakit sangat-sangat terutamanya di tempat peranakan. Allahu, tak terkata sakitnya. 

Selepas jin sudah tiada dalam badan, badan aku terus menjadi lemah selemah-lemahnya seperti baru lepas bersalin buat beberapa minit. Kemudian, ustaz pun baca-bacakan pada anak aku. Katanya, ada seekor yang diletakkan di kaki anak aku, tempat nenek tua itu urut tempoh hari! 

Patutlah selepas nenek itu balik, anak aku duduk sendiri sambil memegang kaki dia. Hampir setiap hari dan setiap waktu dia menjadi begitu sehinggalah ustaz buang jin itu dari kaki dia. 

Selepas itu, ustaz pun ceritalah tentang nenek tua itu, tentang hantu kucing yang ditinggalkan dalam badan. Yang jamu itu pula, ustaz kata ia dibuat di tokong Buddha, ada jampi-jampi dan bau-bau kemenyan. 

Tiba-tiba mak beritahu yang nenek ini baru masuk Islam. Patutlah kami tak pernah nampak dia sembahyang. Tetapi bila pasang Oasis ayat-ayat zikir, dia pun ikut zikir juga sambil mengurut-urut. Tetapi dia memang tidak pernah sembahyang sepanjang mengurut aku sampai dekat nak senja. 

Cerita ustaz lagi, semasa dia mahu melangkah masuk ke rumah aku melalui pintu belakang, dia ada baca-baca sikit tetapi tiba-tiba ustaz macam bergelut dengan sesuatu sampai hampir terjatuh terduduk. Rupa-rupanya nenek tua itu dah letak benda itu seekor di belakang rumah. Patutlah suami aku kerap nampak seekor kucing yang bertenggek di belakang dengan seramnya. 

Pesan ustaz, selepas ini kalau nak berurut, elakkan guna khidmat tukang urut dari siam kerana majoriti mereka menggurut dengan ilmu yang syirik. 

"Jangan seru nenek itu, nanti dia datang sebab benda itu obleh tahu kalau orang dok seru dia. Cakap, cerita atau teringat pada dia, nanti jin itu akan beritahu nenek itu dan nenek itu akan datang dekat pada kita," kata ustaz.

Sepanjang aku taip ini pun, hati terasa berdebar-debar sangat. Takut, seram, segala jenis perasaan pun ada. Tetapi macam mana pun, aku nak kongsikan juga perkara ini agar orang ramai berwaspada selalu ketika memberi orang yang tidak dikenali menyentuh badan kita. - Facebook | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.