'Kami Hampir Diculik Ketika Bercuti Di Ho Chi Minh'


Setelah masuk teksi yang sedia menanti, pemandu teksi berkenaan terus bergerak tanpa sebarang arahan membuatkan kelima-lima sahabat itu berasa pelik.

"Apa yang pelik, kami tidak pernah beritahu nama hotel tempat kami menginap dan pemandu tersebut pun tidak bertanya. Sebaliknya terus bergerak ke destinasi yang kami tidak pasti. Ini amat merisaukan kami. Dalam teksi itu, kami merancang melarikan diri.

"Sampai di satu persimpangan, teksi berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah. Sebaik sahaja Izwan membuka pintu, kami meluru keluar. Pemandu teksi cuba menahan suruh masuk semula. Kami enggan dan terus berlari ke arah bertentangan. 

"Pada masa itu, kami betul-betul bingung. Tidak tahu di mana lokasi kami sebenar. Jalan tersebut agak lengang dan kami pasti ia bukan kawasan tumpuan. Dalam keadaan masih terkejut, cemas dan trauma, kami cuba memikirkan jalan pulang ke hotel. 

"Ketika itu badan seolah-olah mahu pitam. Penat berlari, lapar tidak makan sejak pagi, selain rasa takut yang teramat sangat, semua ada. Rancangan kami ialah pergi ke kawasan Ben Thanh kerana dari situ kami sudah tahu arah ke hotel. 

"Kami terus berjalan sehingga melihat sebuah hotel kecil. Kami cuba mendapatkan bantuan. Namun reaksi penjaga kaunter sebaliknya. Dia kelihatan marah-marah. Tetapi mengarahkan kami menunggu di situ sambil menelefon seseorang. Kami tidak tahu dia menelefon siapa. Tidak yakin, kami lari lagi sekuat hati. Bimbang orang yang dihubungi adalah konco-konco kumpulan penculik itu. 

"Kemudian dengan baki wang 100 dong, kami nekad naik teksi untuk ke Ben Thanh. Strategi kami mengarahkan pemandu teksi berhenti jika meter sudah mencecah 100 dong. Kami bersyukur kerana apabila teksi meter menghampiri 100 dong, teksi berhenti tidak jauh dari Ben Thanh. Dari situ kami sudah boleh mengagak di mana hotel kami.

"Sampai di hotel, kami terus mandi. Kami yakin belum selamat. Rasa diekori masih kuat menyelubungi. Situasi dalam bilik tidak berapa tenteram. Ada yang menggigil, menangis dan dalam situasi tegang itu, kami terus berfikir. Yang pasti kami mahu balik Malaysia. 

"Selepas telefon Amirul dicas dan berjaya dihidupkan, kami menghubungi rakan serumah di Johor Bahru meminta dia membeli tiket penerbangan dan berjaya dibeli pada harga RM600 seorang. Selepas mendapat salinan tiket dan nombor tempahan, kami terus bersembunyi dalam bilik kerana penerbangan jam 9.00 pagi. 

"Kami terfikir untuk menghubungi pihak kedutaan tetapi gagal mendapatkan nombor telefon kedutaan meskipun mencari di internet. Dalam keadaan yang penat dan lapar itu, hanya air mineral sahaja yang menjadi pengalas perut kami.

"Sekitar jam 1 pagi, dari lubang pintu kelihat seorang lelaki mencurigakan di lorong aras kami. Apa yang pelik, dia seolah-olah menunggu sesuatu. Sambil menghisap rokok, sesekali matanya memandang ke arah pintu bilik kami. Tidak lama selepas itu, kelibat lelaki itu hilang. Kami terdengar pula bunyi pergerakan di loteng. Kami panik, terus capai beg dan lari ke bawah.

"Di kaunter, kami meminta pasport dikembalikan. Walaupun petugas tersebut cuba mententeramkan kami dan ingin membantu menelefon teksi, kami tidak berani tunggu lama dan terus keluar dari hotel yang telah dibayar penuh untuk penginapan selama empat malam. Di dalam bilik tadi juga kami berjaya mengumpul wang 300 dong. 

"Mata kami liar mencari teksi dan akhirnya berjaya menahan sebuah teksi ke lapangan terbang. Kami tawakal dan sepakat, jika dia membuat panggilan atau menerima panggilan telefon, kami akan keluar dari teksi berkenaan. 

"Rasa cemas kami kembali apabila melihat gaya pemanduan pemandu teksi. Dalam jalan lengang, dia memandu dengan sangat perlahan. Mungkin sekitar 30 kmj. Kenapa? 

"Dalam memerhatikan gerak geri pemandu, Amirul pula memantau pergerakan menerusi aplikasi waze bagi membandingkan pergerakan dan arah teksi. Akhirnya kami tiba di lapangan terbang dengan bayaran 200 dong. Kami mencari tempat selamat untuk bersembunyi dan berehat. Kami cuba mencari tempat yang ramai orang, tetapi tiada. Pihak berkuasa seperti polis dan pengawal keselamatan juga tidak kelihatan, mungkin sudah lewat, jam 2 pagi. 

"Kami memilih untuk berehat di sebuah restoran di tingat atas. Kami bersembunyi di bawah meja berkenaan. Dalam hati kami terus berdoa dan mata terus memerhatikan sekeliling. 

"Jam 7 pagi, kami mendaftar masuk dan berasa lega apabila berada di ruang pelepasan. Pun begitu, bayangan kumpulan penculik itu seperti masih mengekori kami. Penat dan letih menyebabkan kami tertidur di sepanjang perjalanan. Sampai di KLIA 2, kami mencari pula jalan pulang ke Johor Bahru. 

"Kami bersyukur diberikan peluang untuk terus hidup. Pulang melihat keluarga masing-masing. Menjejakkan kaki di tanah air tercinta meskipun terlalu perit dilalui, ia kekal dalam sejarah kehidupan kami. Syukur Allah. Terima kasih semua," - Muhammad Azhar | PIXE LMEDIA

No comments

Powered by Blogger.